Home Artikel PAS Melaka

Teruskan kerjasama dengan Tabung Darah Melaka – Ustaz Bilal

205
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 17 Jan : Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahudin berharap agar kerjasama yang sudah terjalin antara Jabatan Amal Malaysia (JAM) Melaka dengan Tabung Darah Negeri Melaka akan dapat diteruskan pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di program Amal Mega Blood Donation (AMBD) anjuran JAM Melaka di AEON Bandaraya Melaka, di sini, sebentar tadi.

Tambah beliau lagi, program AMBD ini sebenarnya bakal dijadikan acara tahunan sebagai bulan derma darah yang akan diuruskan oleh JAM Melaka dengan kerjasama pihak Tabung Darah Negeri Melaka.

“Semalam (di Mydin MITC) sambutan sangat menggalakkan sehinggakan beg yang dibawa untuk extra tu pun tak cukup lagi.

“Saya ingat dalam pukul 2.30 dah tutup dah, dah mula kemas tutup, menandakan sokongan yang sangat menggalakkan daripada masyarakat untuk menyumbang dan menyertai program derma darah ini.

“Saya difahamkan hari ni pihak Hospital dan Tabung Darah Melaka memang dah standby lebih extra (beg darah) untuk hari ini,” ujar beliau.

Beliau juga melahirkan rasa syukur atas sambutan yang sangat baik untuk program hari ini di samping tapak program derma darah yang lebih luas disediakan oleh pihak AEON Bandaraya Melaka.

Apabila ditanya tentang harapan beliau terhadap usaha membantu Tabung Darah Negara ini beliau berkata bahawa tanggungjawab untuk menderma darah bukan hanya bila ada program sahaja.

“Saya harapkan bukan sahaja kita semua dapat membantu untuk mempromosikan derma darah ini, bukan bergantung kepada program sahaja.

“Tetapi kalau boleh kita kena mengajak masyarakat di luar sana, di dalam keluarga kita dan juga masyarakat setempat kita supaya memberikan galakan untuk pergi derma darah.

“Kita boleh terus ke Pusat Darah di hospital yang ada contohnya di Pusat Darah Hospital Melaka. Benda ni boleh berterusan dan bukan bergantung kepada program sahaja,” ujar beliau lagi.

Program AMBD ini berlangsung selama dua hari di dua lokasi berbeza iaitu semalam di Mydin MITC dan hari ini di AEON Bandaraya Melaka dari jam 11 pagi hingga 5.00 petang.