Home Berita PAS Kelantan

“UNIFI” hadiah hari raya paling bermakna kepada warga desa

171
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
PASIR MAS, 18 Jul: Impian warga desa di Mukim Alor Buloh untuk berkomunikasi melalui panggilan video tanpa gangguan talian menjadi kenyataan apabila permintaan mereka dipenuhi dalam tempoh seminggu oleh TM Kelantan, hari ini.
Pemasangan perkhidmatan Unifi berkelajuan 100 megabit sesaat (Mbps) itu sudah lebih sepuluh tahun dinanti-nantikan oleh hampir 200 penduduk Kampung Beta, Pohon Buloh pagi tadi, dipantau sendiri oleh Pengurus Besar TM, Rozainee Muhammad.
“Kita memahami perasaan penduduk di sini terutamanya ibu bapa yang amat merindui anak-anak mereka.
Namun atas kepatuhan kepada arahan Kerajaan supaya tidak pulang beraya di kampung halaman, mereka rela berkorban perasaan.
Jadi kita segerakan pemasangan Unifi sebagai hadiah pengorbanan mereka itu agar silaturahim tetap terjalin walaupun tidak berpeluang beraya bersama”, katanya ketika turun padang memantau kerja pemasangan tiang dan pusat agihan fiber.
Tambahnya, secara teori, untuk perkhidmatan berkelajuan 100mbps, insha-Allah penduduk di sini akan menerima kelajuan muat turun 100 mbps dan kelajuan muat naik 50mbps serta perkhidmatan “unifi home” yang menggunakan fiber tetap tidak akan terganggu akibat cuaca kurang baik.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung yang bergotong-royong membersihkan kawasan untuk mempercepatkan pemasangan tiang talian dan menghargai usaha Jawatankuasa Kelab Komuniti Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA) yang menjadi pemudah cara TM dengan penduduk kampung tersebut.
Sementara itu, mantan penjawat awam kumpulan tertinggi kerajaan, Hassan Abdul Rahman, 73, yang diuji berjauhan dengan anak-anaknya di Kuala Lumpur menganggap kelulusan segera daripada pihak TM ini sangat terpuji kerana kecekapan perkhidmatan pembekal telekomunikasi seperti ini membuktikan syarikat korporat tersebut bukan berorientasikan keuntungan semata-mata. Bahkan sangat menjaga kebajikan masyarakat terutama penduduk luar bandar.
“Tahniah dan terima kasih TM kerana memahami perasaan orang tua yang berasa seperti tidak beraya jika anak-cucu tiada bersama.
Pada era canggih sekarang, Unifi amat penting sebagai alat penenang perasaan khususnya meredakan kerinduan.
Anak-beranak dapat membuat panggilan video serentak dan berasa seperti semua ahli keluarga ada di depan mata”, ujarnya keterujaan.
Manakala Zanzaly Maideen, 67, juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mengubati kerinduan beliau kepada ibu dan sanak-saudaranya di Klang, Selangor.
“Sudah dua tahun makcik tak berpeluang beraya dengan mak dan keluarga yang jauh di mata kerana patuh kepada arahan PKP agar tidak merentas negeri.
Tidak dapat digambarkan perasaan makcik apabila dapat mendengar suara dan melihat muka mak, adik-beradik dan saudara-mara melalui panggilan video serentak tanpa tersekat-sekat atau putus terus ketika bercakap seperti sebelum ini.
“Alhamdulillah dan terima kasih wakil rakyat Meranti, TM dan KITABINA”, katanya.
Kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh Hafizi Ibrahim, 34, yang terus membuat panggilan video kepada isterinya di Lembah Klang sebaik sahaja talian siap dipasang.
Pasangan suami isteri jarak jauh itu saling menangis terharu apabila sepanjang tiga tahun komunikasi jarak jauh mereka berlangsung, hari ini barulah lancar tanpa gangguan talian.