Home Berita PAS Kelantan

Artifak Tentera British di dasar laut Kelantan bakal dijadikan monumen

18
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY
PASIR PUTEH, 19 Jul: Pantai Bisikan Bayu menyimpan khazanah peninggalan sejarah sebelum perang kedua yang tenggelam di dasarnya.

Enam kubu binaan tentera British yang boleh dilihat ketika air laut surut itu akan diangkat semua ke darat untuk dijadikan monumen bersejarah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, usaha ini antara strategi untuk merancakkan semula industri pelancongan setempat ekoran pandemik Covid-19 penyebab industri perhotelan dan resort yang diusahakan penduduk tempatan terkesan.

Katanya lagi, artifak tersebut mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada sebarang bentuk penjajahan.
Menurutnya, pelancongan menyusur pesisir sungai Semerak dan penerokaan ke hutan semula jadi bakau juga dalam proses perancangan bersama prasarana lain yang dibangunkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Peruntukan RM800,000 diluluskan untuk melaksanakan program panorama hijau dengan menanam semula pokok rhu dan menghidupkan semula pakej pelancongan ke Bukit Peraksi sebagai tempat mendaki dan jogging.

Beliau juga yakin keunikan secara fitrah pantai kegemaran kaki pancing dan lokasi melihat matahari terbit mampu menjadi aset yang menarik minat pelancong berkunjung ke pantai berkenaan.
“Ketiadaan pengunjung sebelum ini menyebabkan penduduk yang berniaga makanan dan minuman secara kecil-kecilan sudah gulung tikar,” katanya selepas meninjau lokasi penternakan ikan sangkar di Semerak, dekat sini, semalam.