Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 14 Jun: Kerajaan Negeri Kelantan melalui Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita telah bekerjasama dengan UiTM Cawangan Kelantan sehingga tertubuhnya U-KeKWa Sinergi pada 1 Ogos 2018 dan secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya, semalam.
Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata usaha ini amat dialu-alukan daripada pihak cendekiawan untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan peranan universiti dalam membantu Kerajaan mencari penyelesaian dan penemuan baharu yang bermanfaat kepada rakyat.
“Kejayaan MoU ini diharap menjadi pencetus inovasi kemahiran dan apa sahaja ciptaan yang menjana pembangunan wanita Kelantan dan mengoptimumkan kemahiran mereka”, katanya selepas menandatangani Mou tersebut bersama Rektor UiTM Kelantan, Profesor Madya Dr Zulkifli Mohamed bersaksikan Pengarah U-KeKWA, Ilvira Mohd Dasuki dan Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri dan Alumni, UiTM Cawangan Kelantan, Dr Syerina Azlin Md. Nasir.
Sehubungan itu, Dr Zulkifli berkata, gabungan kakitangan U-KeKWa dan staf UiTM Cawangan Kelantan tersebut menjalankan aktiviti dalam bidang pembangunan, pentadbiran, perundingan dan pendidikan berkaitan pembangunan wanita, keluarga dan usahawan serta inovasi.
“U-KeKWa Sinergi telah diiktiraf melalui pencapaian Anugerah Penjanaan Pendapatan Sebenar Terbaik, Anugerah Fasilitator Terbaik, Anugerah KIK Hibrid Terbaik Bidang Inovasi Sosial di Konvensyen KIK UiTM Zon Timur dan tambahan anugerah Anugerah Penarafan Perak semasa Konvensyen KIK UiTM Peringkat Kebangsaan”, katanya melalui platform Streamyard.
Beliau juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan kepada organisasi lain.
Turut sama bertelesidang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Rohani Ibrahim dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Madya Dr. Ghazali Osman.