Home Berita PAS Melaka

TPJ2 PAS MELAKA RASMI MARKAZ MUAFAKAT NASIONAL DUN LENDU

1072
SHARE
Ustaz Imran memacakkan bendera UMNO sementara YB Sulaiman memacakkan bendera PAS sebagai simbolik perasmian Markaz Muafakat Nasional Kampung Lendu
Ustaz Imran sedang menyampaikan ucapan perasmian

Oleh : IBNU JANIE

MASJID TANAH – Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman telah merasmikan Markaz Muafakat Nasional DUN Lendu di Kampung Lendu pagi tadi.

Ustaz Imran yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah dalam ucapannya memuji usaha yang dilakukan oleh PAS dan UMNO DUN Lendu yang bergotong-royong menyiapkan markaz ini yang disifatkan sebagai markaz Muafakat Nasional yang pertama di dalam Parlimen Masjid Tanah ini.

“Tak cukup dengan bangunan sahaja, tapi mesti diisi dengan aktiviti. Markaz ini akan jadi syiar. Supaya nampak bahawa Muafakat Nasional bukan hanya cakap-cakap sahaja tetapi ditunjukkan amalinya dengan adanya markaz ini.”

YB Sulaiman sedang menyampaikan ucapan

Sementara itu ADUN Lendu, YB Datuk Sulaiman Md Ali dalam ucapannya meminta agar semua orang Melayu dari kalangan PAS dan UMNO jangan berbalah lagi dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku pada masa ini. Akibat perbalahan ini orang Melayu hilang kuasa.

“Saya nak bagitahu bahawa kerajaan Melaka hari ini bukan diperintah oleh orang Melayu, tetapi diperintah oleh Cina DAP.” kata YB Sulaiman dalam ucapan beliau.

Beliau yang hadir mewakili Ketua UMNO Bahagian Dato’ Ab Rauf Yusoh itu menjelaskan bahawa walau pun Ketua Menteri Melaka sekarang dari orang Melayu tetapi sebenarnya beliau tidak mempunyai kuasa. Kerana itulah rakyat harus memberi peluang kepada Muafakat Nasional untuk mentadbir semula Melaka dalam pilihanraya akan datang demi untuk memastikan orang Melayu kekal berkuasa.

Untuk rekod, markaz ini yang dibina di atas tanah milik aktivis veteran PAS, Haji Adam Majid  ini telah ditambahbaik dengan membina beberapa struktur baru untuk digunakan sebagai pusat aktiviti PAS dan UMNO di DUN Lendu ini.

Sebahagian besar kos pengubahsuaian markaz yang telah lama beroperasi sebelum ini sebagai Markaz PAS ini ditanggung oleh Tuan Haji Adam sendiri secara peribadi disamping sumbangan orang ramai.

Turut hadir di dalam majlis ini ialah bekas calon PAS Dun Lendu, Cikgu Arshad Md Som, juga ahli dan pimpinan PAS dan UMNO tempatan.

Pemimpin PAS dan UMNO bergambar bersama dengan aktivis dari kedua-dua parti

ANTARA FOTO-FOTO SEMPAT DIRAKAM WARTAWAN RAKYAT MELAKA (WARM)