Home Berita PAS Melaka

PAS Melaka Muliakan Golongan Assabiqun – Diseru Jadi Amilin Ke Akhir Hayat

950
SHARE
Pak Subky Latif ketika merasmikan Hari Assabiqun Melaka diiringi oleh Pesuruhjaya Melaka, Ustaz Kamarudin Sedik dan Pengerusi Assabiqun Melaka, Haji Hassan Md Dahan

Oleh: Shawal Ahmad (WARM)

MELAKA: Sekitar lebih 250 orang warga Assabiqun berhimpun dari seluruh kawasan untuk menjayakan Sambutan Hari Assabiqun Peringkat Negeri Melaka yang diadakan di Dewan Raja Haji, Dataran Mat Riau, Bukit Baru, Melaka di sini semalam.

Perhimpunan setengah hari yang berlangsung dengan jayanya ini dimulakan alunan bacaan Al Quran oleh Tokoh Qari’ Melaka Tuan Haji Ali Miran. Sambutan ini menjadikan Melaka adalah negeri ketiga menyambut Hari Assabiqun selepas Pulau Pinang dan Johor.

Hari Assabiqun telah dilancarkan di peringkat nasional di Ketereh, Kelantan pada Oktober lalu. Tujuan Sambutan Hari Assabiqun diadakan adalah supaya para jasawan PAS berusia 55 tahun ke atas yang sekarang sudah tidak aktif kerana uzur dan faktor usia dapat bertemu antara satu sama lain. Ia juga sekali gus bagi merai dan mengenang jasa warga Assabiqun di dalam perjuangan PAS yang satu masa dulu semasa muda mereka telah mengorbankan tenaga, masa dan harta untuk melangsungkan perjuangan segigih mungkin demi mendaulatkan Islam di negara ini.

Pengerusi Sidang Assabiqun Pusat, Haji Subky Abdul Latif semasa merasmikan program tersebut berkata, peranan Assabiqun begitu besar bagi menggerakkan PAS pada peringkat awal dengan menempuh pelbagai halangan dan rintangan.

Menurut Pak Subky, walaupun rata-rata berumur di hujung usia, namun tidak harus hanya menanti kedatangan ajal tanpa memikirkan untuk menjadi amilin mengembleng tenaga dan harta ke arah matlamat keredhaan Allah dan mengejar janji kemuliaan di akhirat.

Beliau dalam ucapannya juga mengimbas sejarah penubuhan As-Sabiqun yang ditubuhkan tiga tahun lalu iaitu pada 10 oktober tahun 2016 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dimana ia merupakan tarikh yang sama Tuan Guru Hashim Jasin dilantik menjadi Mursyidul Am PAS baharu.

Nama Assabiqun itu untuk mengambil berkat dari ayat 100 surah at-Tawbah yang berbunyi:- “Dan orang-orang yang terdahulu (berhijrah dan memberi bantuan) dari Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar,”

Dengan itu beliau berharap moga-moga warga Assabiqun dan yang bersamanya beroleh barakah seperti mereka yang mula-mula menerima Islam di zaman Rasulullah SAW, mendapat barakah Muhajirin dan Ansar (yang sama-sama berhijrah) dan barakah orang-orang mengikut jejak mereka hingga ke hari ini.

Kata Subky, golongan Assabiqun yang disebut dalam Al Quran, 15 abad dulu mati dalam Islam, maka dengan tindakan PAS memuliakan golongan Assabiqunnya, biar semua mati sebagai ahli PAS. Sebelum ini As-Sabiqun dikenali sebagai Kelab Veteran PAS dengan keahliannya untuk mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Tambah Subky lagi, sekarang Assabiqun sudah berusia lanjut dan ramai yang uzur, tidak dapat cergas lagi dalam parti tetapi masih istiqamah dalam perjuangan Islam. Bagi mengelakkan mereka terbiar dan ketinggalan dari arus perdana politik, maka ditubuhkan Assabiqun, bagi mengambil tahu masalah dan keperluan mereka. Tiada mereka tiadalah PAS yang meraikan Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai 14 September lalu.

Subky yang juga bekas wartawan menjelaskan, Muafakat Nasional itu bukan bermakna PAS dan Umno bersatu, sebaliknya kedua-dua parti terbabit tetap berdua melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong) dalam perkara yang baik dan taqwa (mentaati Allah).

Turut diadakan tayangan slaid Sejarah PAS Negeri Melaka oleh Mantan Wartawan Harakah Melaka, Tuan Haji Othman Abdullah yang menceritakan sejarah dari awal penubuhan PAS Negeri Melaka bermula 1957 hingga sekarang.

Forum bersama tokoh Assabiqun Melaka, Tuan Guru Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid dan Puan Hajah Sapiah Ahmad

Majlis turut mengadakan tayangan secara langsung di page fb rasmi PAS Negeri Melaka bagi slot Bicara Tokoh oleh Mantan Pesuruhjaya PAS Melaka,Tuan Guru Hj Jalaluddin Ab Wahid, Mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin, Hajah Sapiah Ahmad dengan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin sebagai moderator. Kedua-dua tokoh ini telah memberikan nasihat dan mengimbau perjuangan yang mereka lalui dalam PAS juga perkembangan, pembangunan PAS sehingga adanya PAS Melaka seperti yang dilihat hari ini.

Sempena program ini wakil-wakil Assabiqun setiap kawasan telah menerima Anugerah Tokoh Assabiqun yang telah disampaikan oleh Pengerusi Sidang Assabiqun, Haji Subky Abdul Latif sendiri.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamarudin Sedik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Wan Zahidi Wan Ismail dan Pengerusi Assabiqun Negeri Melaka, Tuan Hj Hassan Md Dahan.

Antara foto-foto menarik program :


Kelolaan Wartawan Rakyat Melaka (WARM)