Home Berita PAS Melaka

Tinta Lajnah Ekonomi : Iqtisad Rakyat | Mencari Yang Halal Dan Bersih Itu Fardu

1643
SHARE

UNTUK siri Iqtisad Rakyat kali ini dan beberapa siri yang akan datang, penulis akan fokus kepada industri permakanan halal di Malaysia selari dengan kempen “Buy Muslim First” (BMF) di negara kita sekarang ini. Sebahangian dari penulisan ini diambil dari kertas projek penulis suatu ketika dulu.

Konsep Permakanan Dalam Islam

Makanan merupakan keperluan asas manusia. Makanan yang terbaik untuk semua manusia adalah makanan yang halal. Konsep pemakanan halal dalam Islam ialah halal lagi baik (halalan toyyiban) iaitu terdiri daripada makanan yang berkhasiat dan tidak memudaratkan. Allah S.W.T telah menggariskan panduan kepada manusia mengenai gaya pemakanan yang terbaik.

Di dalam Surah al-Baqarah ayat 168 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia, makanlah daripada makanan yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di atas bumi…”.

Dalam konteks masyarakat Islam, pengambilan makanan yang halal amat penting kerana ianya memberi implikasi terhadap ibadah yang dilaksanakan.

Kepentingan Makan Makanan Halal

1) Menyihatkan tubuh badan.

Kesihatan tubuh badan termasuklah dari aspek fizikal, mental dan rohani. Pemakanan yang baik dapat mempengaruhi pemikiran seseorang. Ianya menjadikan seseorang itu lebih cergas, sihat dan kehidupannya lebih terjamin.

2) Terhindar dari kemungkaran.

Bagi umat Islam sendiri, konsep halalan toyyiban itu sendiri dapat menghindarkan diri dari perbuatan dosa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, menyatakan bahawa salah satu doa yang tidak diterima oleh Allah adalah kerana makanan yang dimakannya ialah daripada sumber yang haram, minumannya daripada sumber yang haram dan pakaiannya juga daripada sumber yang haram.

3) Terhindar daripada penyakit yang merbahaya.

Misalnya, Allah s.w.t telah mengharamkan daging babi kerana kajian sains membuktikan bahawa terdapat cacing pita dan virus JE (Japanes Enceplytis) dalam babi. Kedua-duanya dikatakan sukar untuk dibunuh. Maka dari itu, mematuhi perintah Allah S.W.T dalam menjaga soal makanan dan minuman atau apa juga produk kegunaan umat Islam hanya yang halal amat penting supaya memberi kebaikan kepada individu itu sendiri terutama dari segi kesihatan.

Definisi Atau Maksud Halal

Halal adalah perkataan Arab yang bermaksud dibenarkan atau sah. Di dalam Al-Quran, Tuhan memerintahkan umat Islam dan seluruh umat manusia untuk memakan makanan Halal –

“Hai manusia! Makanlah yang halal dan sihat, dan janganlah kamu mengikuti jejak syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuhmu yang terkenal . ” (2: 168)

Permintaan makanan halal telah meningkat dengan ketara selari dengan anggaran 2.1 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia termasuk Malaysia. Dalam satu kajian yang dibuat dalam tempoh 10 tahun yang lalu, menyatakan bahawa lebih kurang USD 2.1 trilion produk makanan halal diurus niagakan di seluruh dunia.

Menurut Dewan Ekonomi (2011), pasaran produk halal berkembang dan meningkat sebanyak 25 peratus setiap tahun. Angka ini menunjukkan bahawa makanan halal menjadi perniagaan yang menguntungkan bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga negara-negara bukan Islam. Kajian yang dibuat menunjukkan negara barat seperti Amerika dan England adalah merupakan salah satu dari pengguna makanan halal yang terbesar di dunia

Sebagai seorang Muslim, adalah menjadi kewajiban kepada kita untuk mengikuti apa yang dinyatakan dalam Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad. Secara amnya, panduan Al-Quran menetapkan bahawa semua makanan pada asasnya adalah halal kecuali makanan yang disebut secara jelas haram seperti babi dan arak

Industri HALAL Di Malaysia

Di negara yang memiliki lebih 30 juta penduduk, di mana lebih 60 peratus daripadanya beragama Islam, syarikat pembuatan makanan akan merasa sangat penting untuk memastikan bahawa kepekaan dan keprihatinan kumpulan majoriti ini dipertimbangkan dengan baik mengenai apa sahaja keputusan perniagaan yang diambil.

Bagi penduduk Muslim, jaminan yang paling dicari yang dapat ditawarkan oleh pengeluar makanan adalah pengesahan bahawa produk yang dijual benar-benar halal, serta selamat untuk dimakan di samping mempunyai sijil halal yang berlabel pada setiap bungkusan produk mereka.

Pengesahan sijil atau tanda halal ini akan membolehkan pengeluar meyakinkan pengguna, terutama Muslim bahawa produk mereka telah disahkan oleh pihak ketiga yang bebas, iaitu Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai bahan yang tidak mengandungi komponen yang tidak halal menurut undang-undang syariah. Oleh itu, produk ini dianggap bersih, boleh dimakan dan selamat untuk dimakan.

Sebagai pihak bebas yang dipertanggung jawab oleh pihak kerajaan untuk menganugerahkan sijil halal kepada syarikat, JAKIM telah menetapkan garis panduan dan syarat yang jelas bagi setiap syarikat yang ingin memperoleh sijil tersebut. Selain JAKIM, Jabatan Agama Islam dari pelbagai negeri juga diberi tanggungjawab yang sama oleh Kerajaan.

Menurut sumber dari JAKIM, sebanyak 7,426 syarikat telah mendapat perakuan sijil halal sehingga tahun 2018 dengan pecahan sebanyak 78,232 produk makanan dan minuman, produk kosmetik (2,129), produk farmaseutikal (1,418) dan barang gunaan (2,808) dipersijilkan halal. Selain itu, sebanyak 242 rumah sembelihan turut menerima pensijilan halal dalam tempoh sama
Logo HALAL Malaysia

Industri makanan adalah merupakan antara urusniaga industri yang terbesar di Malaysia dan menjadi keutamaan serta mendapat perhatian yang sangat serius oleh pihak kerajaan Malaysia bukan hanya kerana pertambahan penduduk yang begitu ketara tetapi juga disebabkan oleh peningkatan aktiviti perniagaan di industri ini. Pada tahun 2015 saja, menurut Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia membelanjakan sejumlah sekitar RM45.4 bilon untuk urusniaga import makanan dari negara luar. Manakala pada tahun 2011, jumlah export makanan halal Malaysia adalah sebanyak RM35.4 billion

Memandangkan angka dan permintaan yang begitu tinggi ini, industri makanan khususnya yang berasaskan produk halal merupakan satu industri yang sangat penting dan pesat berkembang d negara kita ini. Justeru kita harus mengambil peluang dan ruang ini untuk sama-sama menjadi sebahagian dari pemangkin industri ini

Bersambung di siri yang akan datang…

#IslamMemimpinPerpaduan

HJ RAFIE B. AHMAD
TYDP PAS Kawasan Tangga Batu
Ketua Lajnah Ekonomi PAS Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)