Home Minda Presiden

Tiada yang boleh menahan hukuman ALLAH SWT

370
SHARE

Minda Presiden PAS

TIADA YANG BOLEH MENAHAN HUKUMAN ALLAH SWT


 Firman Allah SWT:

﴿وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا بَيَاتًا وَهُمْ نَائِمُونَ٩٧ أَوَأَمِنَ أَهْلُ الْقُرَى أَنْ يَأْتِيَهُمْ بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ٩٩﴾ 

 

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan ke atas mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96); Patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97); Atau patutkah penduduk negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98); Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99).” (Surah al-A‘raf: 96-99)

Ayat di atas menjelaskan tentang janji Allah SWT yang pasti ditepati untuk mengurniakan banyak keberkatan kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Allah SWT juga memberikan amaran kepada sesiapa yang derhaka dengan hukuman bencana yang pernah ditimpakan ke atas umat yang terdahulu. Peristiwa sejarah yang menjadi pengajaran kepada manusia seluruh dunia sepanjang zaman.

Bagi mereka yang taat kepada Allah SWT, diturunkan hujan rahmat kepada mereka dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah keluar daripada bumi yang membawa keberkatan (kebaikan di dunia dan di akhirat).

Allah SWT menetapkan kedudukan makhluk manusia di muka bumi dan alam kehidupan di dunia ini mengikut fitrah penciptaannya yang membolehkan mereka melakukan tugas mengikut ketetapan Allah dengan sifat hamba kepada-Nya.

Kehambaan kepada Allah sama sekali berbeza dengan kedudukan seorang rakyat atau warganegara kepada sebuah kerajaan manusia, bahkan jauh sekali berbeza dengan kedudukan seorang pegawai kepada kerajaan atau pekerja kepada majikan.

Hal ini menunjukkan manusia tiada pilihan lain, selain mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا٣٦﴾

 “Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, (tidaklah harus mereka) mempunyai hak untuk memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Sifat Allah SWT itu Maha Rahmat, Maha Penyayang, Maha Adil dan Maha Bijaksana dengan kebijaksanaan-Nya yang tiada bandingan, bahkan sempurna dengan semua sifat dan nama-nama-Nya yang Maha Terpuji.

Semua perintah Allah pasti membawa kebaikan kepada manusia dan semua larangan-Nya pasti membawa kumudaratan dalam kehidupan dunia, sebelum mereka menerima hukuman di akhirat akibat derhaka kepada-Nya.

Jika seluruh manusia melawan Allah SWT, perbuatan tersebut tidak sedikit pun mengurangkan sifat ketuhanan-Nya yang sempurna. Firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ مُوسَى إِنْ تَكْفُرُوا أَنْتُمْ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا فَإِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ حَمِيدٌ٨﴾

“Dan Nabi Musa berkata: ‘Jika kalian dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.’” (Surah Ibrahim: 8)

Allah SWT yang terpuji sifat-Nya tidak akan sekali-kali membiarkan manusia yang bersifat makhluk dan pasti mempunyai kelemahan, hidup di dunia tanpa panduan-Nya, walaupun mereka itu berakal dan berilmu.

Maka, akal tetap dimuliakan supaya mereka sentiasa berfikir mencari ilmu dan pengalaman dalam kehidupan dunia ini. Namun, ada beberapa perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia, maka Allah SWT menetapkan sempadan perkara yang wajib dan perkara yang haram.

Semua perkara yang wajib pasti membawa kebaikan kepada manusia, manakala semua perkara yang haram pasti mendatangkan mudarat kepada diri mereka sendiri.

Mereka yang melakukan perkara yang haram bukan sahaja berdosa, malah mendatangkan penyakit berbahaya. Adapun mereka yang melakukan perkara yang wajib mempunyai banyak fadilatnya (kelebihan), bukan sahaja diberikan pahala.

Bagi memastikan manusia sentiasa berada di jalan yang benar, maka mereka diperintahkan supaya bertaqwa, bermaksud hendaklah sentiasa berwaspada dengan tidak melampaui sempadan Allah SWT, sehingga merosakkan diri dan kehidupan mereka.

Kemudian, para Rasul dilantik bersama dengan Kitab petunjuk yang didukung oleh para pengikut yang membantunya bagi memberikan petunjuk kepada manusia. Mereka diwajibkan pula berdoa pada setiap rakaat solat supaya diberikan petunjuk yang lurus.

Malangnya, masih terdapat dalam kalangan manusia yang melampaui batas sempadan Allah SWT dalam kehidupan mereka, sehingga mereka meninggalkan petunjuk-Nya serta mengadakan peraturan dan cara sendiri yang tidak diizinkan oleh-Nya. Firman Allah SWT:

﴿كَانَ النَّاسُ أُمَّةً وَاحِدَةً فَبَعَثَ اللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَأَنْزَلَ مَعَهُمُ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِيَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ فِيمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ وَمَا اخْتَلَفَ فِيهِ إِلَّا الَّذِينَ أُوتُوهُ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَتْهُمُ الْبَيِّنَاتُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ فَهَدَى اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا لِمَا اخْتَلَفُوا فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِهِ  وَاللَّهُ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ٢١٣﴾

“Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tiada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberikan kepada mereka Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izin-Nya. Dan Allah sentiasa memberikan petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah: 213)

Firman Allah SWT:

﴿أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ٢١﴾

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian daripada agama mereka, sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta ke atas mereka (yang berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Syura: 21)

Al-Quran membawa suatu cerita benar tentang kaum yang telah dibinasakan disebabkan penyelewengan aqidah sesat mereka yang pasti diikuti dengan kejahatan lain selepas itu.

Contohnya, kaum ‘Aad mempunyai kemampuan untuk mendirikan bangunan pencakar langit, tetapi mereka dibejati dengan maksiat setelah mensyirikkan Allah SWT. Selain itu, Firaun berlagak menjadi tuhan (diktator) walaupun hebat ketamadunannya, kaum Syu‘aib AS menipu sukatan dan timbangan (kejahatan ekonomi), kaum Lut AS melakukan perbuatan liwat (kejahatan sosial) dan lain-lain.  Mereka semua dibinasakan dalam sekelip mata. Bangunan yang kukuh dan kota yang teguh tidak mampu menahan hukuman daripada Allah SWT.

Cerita al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman kepada seluruh manusia. Allah SWT memberikan amaran sebagaimana firman-Nya:

﴿ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

Seluruh dunia kini dilanda dengan penularan wabak Covid-19 yang menyeluruh.

Marilah kita melakukan muhasabah diri dan kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat dan melakukan islah (pembaikan). Pada masa sama, kita berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bencana ini.

Kebanyakan bencana adalah berpunca daripada kesalahan manusia sendiri yang rakus mengikut hawa nafsu, sehingga merosakkan diri dan alam sekitar. Khususnya perbuatan yang melanggar perkara fitrah (naluri) bagi diri dan masyarakat.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulqa‘dah 1442 / 28 Jun 2021