Home Berita PAS Melaka

Tiada lagi doa ibu setiap kali pergi kerja – Jamarudin

99
SHARE
Jamarudin – kiri

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 9 Okt: Dengan pemergian bonda tercinta menemui Ilahi, maka tiada lagi doa daripadanya setiap kali melangkah keluar untuk bekerja selepas ini.

Demikian luahan Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamarudin Ahmad, 49, yang baru sahaja kehilangan ibu tercinta, Almarhumah Aminah Imam Ahmad,79,  akibat sakit tua.

“Setiap kali saya nak keluar pergi kerja saya akan cakap ‘mak, doakan Mal murah rezeki, doakan Mal selamat’. Dan arwah mak akan aminkan dan mendoakan.

“Itulah yang saya hilang pada masa ini. Tiada lagilah doa daripada mak macam yang selalu saya pohon tiap kali nak keluar kerja,” ujar beliau sayu.

Menurut Jamarudin walau pun beliau tinggal di rumah sendiri di Cheng, namun beliau kerap mengunjungi ibunya yang tinggal di rumah asal keluarganya di Kampung Pinang terutama pada waktu pagi sebelum keluar bekerja.

Beliau yang juga merupakan Ketua Cawangan Penaja PAS Kampung Pinang menambah, Almarhumah ibunya itu disedari sudah meninggal dunia ketika adiknya cuba mengejutkan ibunya itu pada jam 6.00 pagi tadi untuk persediaan solat Subuh.

“Masa tu adik saya dapati arwah mak sudah tidak bernafas lagi. Dan dia terus hubungi saya.

“Kami percaya arwah mak meninggal antara pukul 1 pagi hingga pukul 6 pagi sebab malam tadi lebih kurang pukul 1 pagi adik saya kejutkan dia seperti biasa untuk makan,” katanya.

Menurut Jamarudin Almarhum bondanya itu perlu diberi makanan berbentuk susu setiap empat jam dan memang setiap kali tiba jam 1 pagi mereka akan memberinya susu tersebut selain untuk menukarkan lampin pakai buang.

Tambah beliau lagi, Almarhum ibunya itu sudah beberapa bulan terlantar tidak boleh berjalan kerana kakinya patah.

“Pada bulan September baru-baru ni arwah mak ada dimasukkan ke wad sebab oksigen dalam darahnya turun mendadak. Namun doktor sahkan bukan disebabkan Covid-19.

“Kata doktor ada masalah toksik dalam darah. Sejak itu arwah emak memang seperti kena strok. Badannya lemah dan makan pun guna tiub.

“Arwah mak meninggal pagi tadi boleh dikatakan sebab sakit tua. Doktor pun dah sahkan bukan Covid-19. Semuanya dibuat mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan pihak polis dan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” ujarnya.

Beliau ditemui Wartawan Rakyat Melaka (WARM) seusai majlis pengebumian jenazah bondanya itu di Tanah Perkuburan Kampung Pinang, di sini selepas solat Zohor tengah hari tadi.

Terdahulu jenazah Almarhumah disembahyangkan di Masjid Kampung Ayer Limau selepas waktu Zohor.

Turut hadir menyembahyangkan jenazah Almarhumah ialah Pengarah JPRD PAS Kuala Linggi, Ustaz Azmi Sambul, Bendahari PAS Kawasan Masjid Tanah, Mohd Taufik Jamil, Penolong Setiausaha PAS Kawasan, Zul Sham Mahat, Ketua Cawangan PAS Kampung Ayer Limau, Mohd Rashidi Ahmad Zainuddin, dan pimpinan PAS Kawasan.