Home Berita PAS Pahang

Misi YaPIEM ke Janda Baik dibantu NGO Cakne Rakyat

141
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

BENTONG, 8 Okt. :: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dengan kerjasama NGO Cakne Rakyat dan PAS DUN Ketari meneruskan misi program ‘Inspirasi Prihatin YaPIEM’, kali ini ke Kampung Janda Baik, Bentong, kelmarin.

Sebanyak 6 buah rumah warga terlantar sakit telah diziarahi dan para penerima meluahkan rasa syukur di atas sumbangan dan bantuan yang diterima.

Antara penerima sumbangan adalah Hashim Ahmad, menetap di Kampung Cherenging, terlantar sakit akibat strok dan Abdul Rani Mat Piah, menghidap sakit Parkinson.

Ahli Jawatankuasa NGO Cakne Rakyat, Ustaz Roslan Md Esa berkata, NGO ini membantu sebagai pemudahcara kepada pihak YaPIEM menyalurkan bantuan yang diamanahkan kepada asnaf atau golongan yang kurang bernasib baik.

“Program sebegini wajar diperhebatkan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun bukan kerajaan kerana inilah satu kaedah yang dituntut dalam Islam iaitu saling bantu membantu dalam perkara kebaikan.

“Kami merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak YaPIEM atas kesudian dan kekerapan mereka turun ke Bentong menyerahkan bantuan,” ujar Ustaz Roslan yang juga Penyelaras PAS DUN Ketari.

Julai lalu, YaPIEM dengan kerjasama NGO Cakne Rakyat telah menyantuni warga Felda Mempaga 1, Kampung Lebu dan Felda Lurah Bilut bagi menyerahkan sumbangan kepada fakir miskin dan warga terlantar sakit.