Home Artikel PAS Melaka

Tempoh majlis akad nikah dihadkan 20 minit sahaja sepanjang PKP

313
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 28 Jan : Tempoh majlis akad nikah ditetapkan agar tidak melebihi 20 minit termasuk bacaan khutbah nikah dan taklik sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Negeri Melaka.

Kehadiran ke majlis akad nikah di Pusat Akad Nikah (PAID) hanya terhad kepada lapan orang sahaja iaitu jurunikah atau Pendaftar, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua orang saksi dalam kalangan pegawai syarak atau pegawai Jabatan Agama Islam (JAIM) serta dua orang ahli keluarga lelaki dan perempuan.

Manakala kehadiran majlis akad nikah yang dijalankan di masjid kariah atau lokasi yang ditetapkan oleh JAIM ditetapkan 15 orang sahaja termasuk Jurunikah/Pendaftar, wali, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua orang saksi pegawai syarak.

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dalam satu kenyataan media bertarikh 27 Januari 2021 yang dimuat naik di Facebook rasmi Ketua Menteri Melaka itu petang semalam berhubung pengimarahan masjid dan surau, perkhidmatan nikah cerai dan rujuk serta kekeluargaan Islam dan pengoperasian tadika JAIM sepanjang tempoh PKP mulai 28 Januari ini.

Tambah Ketua Menteri Melaka itu lagi dalam tempoh PKP ini juga, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut tatacara berikut :

“Lokasi majlis akad nikah adalah seperti berikut: Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) bagi kariah yang berada dalam zon jingga dan merah; Masjid kariah bagi kariah yang berada dalam zon kuning dan hijau; atau mana-mana lokasi yang dibenarkan oleh JAIM.

“Bakal pengantin yang datang dari zon merah perlu menjalani swab test Covid-19 dengan keputusan negatif dalam tempoh tiga hari sebelum majlis akad nikah;

“Bakal pengantin yang datang daripada luar negeri Melaka juga hendaklah mendapatkan kebenaran rentas negeri daripada pihak PDRM; dan

“Majlis hendaklah dijalankan dengan mematuhi tatacara operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Tambah beliau, perkhidmatan permohonan Kebenaran Berkahwin (KB), Temuduga Perkahwinan lslam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya seperti carian sijil nikah, cerai dan rujuk akan dibuka melalui temujanji.

“Perkhidmatan khidmat nasihat dan rundingcara kekeluargaan akan dijalankan secara dalam talian atau bersemuka melalui temujanji.

“Sehubungan itu, orang awam dipohon untuk menghubungi JAIM terlebih dahulu bagi mendapatkan perkhidmatan yang dinyatakan di atas. Kehadiran tanpa temujanji tidak digalakkan bagi mengehadkan pergerakan orang awam,” ujar beliau lagi.

Tambah kenyataan itu lagi, perkhidmatan bagi permohonan pernikahan bagi kedua-dua pengantin yang bukan pemastautin dan kursus Praperkahwinan Islam (KPI) secara bersemuka ditangguhkan buat masa ini.

Menurut Ketua Menteri Melaka itu, permohonan pernikahan bagi kedua-dua bakal pengantin yang bukan pemastautin Negeri Melaka ditangguhkan kerana ia akan melibatkan pergerakan rentas negeri dan pasangan digalakkan bernikah di negeri tempat mereka bermastautin.

“Kerajaan Negeri Melaka melalui Ketua Polis Melaka, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Pengarah JAIM boleh mengambil tindakan dengan menutup premis masjid, surau dan tadika sekiranya didapati berlaku ketidakpatuhan SOP di premis-premis tersebut.

“Ketetapan ini mula berkuat kuasa dari tarikh 28 Januari 2021 sehingga dimaklumkan kemudian.

“Kerajaan Negeri Melaka melalui JAIM akan memberikan maklumat lanjut kepada masyarakat Islam di Negeri Melaka dari semasa ke semasa berdasarkan nasihat daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Kesihatan Negeri,” kata kenyataan itu lagi.