Home Minda Presiden

Dua Wajah Dalam Satu Dolar

500
SHARE

Minda Presiden PAS

DUA WAJAH DALAM SATU DOLAR


Seluruh dunia merasai kehangatan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat sehingga hampir terbakar, pilihan raya yang diadakan di negara pendukung demokrasi Barat terbesar di dunia. Sebuah negara yang kononnya menyanjung kebebasan bersuara paling liberal, sehingga dianggap sebagai contoh kepada seluruh dunia.

Konsep sekularisme yang dianuti oleh mereka, menjadikannya berpisah daripada pantauan agama sendiri yang tidak mempunyai petunjuk dalam urusan politik. Sehingga menjadikan mereka, laksana jasad yang tiada roh atau jasad yang terputus daripada kepalanya, malah menjadikan jasadnya tiada otak untuk berfikir.

Mereka hanya laksana mesin yang digerakkan oleh jentera yang tidak berakal, mengikut ke arah mana sahaja dipusing oleh pemandunya. Jika pemandunya mabuk, maka ia akan tersungkur. Sehingga boleh menyebabkan mereka hancur berkecai sepertimana sebelumnya yang berlaku kepada blok Timur, dengan kehancuran negara Kesatuan Soviet dan negara yang bernaung di bawah blok yang sama.

Peranan agama itu hanya sekadar upacara mengangkat sumpah sebagai Presiden setelah memenangi pilihan raya yang dilakukan di dalam gereja.

Baru-baru ini, kemenangan tersebut hampir dirampas kerana wujud usaha untuk merompak, setelah gagal mencuri. Begitulah parah keadaannya, apabila terjerumus dengan cara yang tidak bermoral dalam konsep demokrasi yang tidak mempunyai roh agama dan lumpuh akhlaknya.

Islam adalah sinonim dengan demokrasi kerana mengiktiraf peranan kedaulatan rakyat dan haknya dalam politik bernegara. Akan tetapi politik Islam mempunyai rohnya tersendiri yang beraqidah ketuhanan dan berwawasan Hari Akhirat.

Politik Islam juga berkonsepkan perhitungan dosa dan pahala yang akan dihisab kelak, mengikut kemampuan mukallaf yang berakal, berpandukan aqidah, syariat dan akhlak.
Perhitungan hisab akan dilakukan terhadap pemimpin yang dipilih dan pengikut yang mengundi, malahan mereka yang menyokong sehingga menang dalam pilihan raya lalu menjadi pemimpin.

Firman Allah SWT:

﴿يَوْمَ نَدْعُو كُلَّ أُنَاسٍ بِإِمَامِهِمْ فَمَنْ أُوتِيَ كِتَابَهُ بِيَمِينِهِ فَأُولَئِكَ يَقْرَءُونَ كِتَابَهُمْ وَلَا يُظْلَمُونَ فَتِيلًا٧١ وَمَنْ كَانَ فِي هَذِهِ أَعْمَى فَهُوَ فِي الْآخِرَةِ أَعْمَى وَأَضَلُّ سَبِيلًا٧٢﴾

“(Ingatlah) suatu hari (Hari Kiamat) Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan pemimpinnya; kemudian sesiapa diberikan kitab amalannya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun. (71); Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (72).” (Surah al-Isra’: 71-72)

Blok Islam pernah berkecai pada abad yang lalu, apabila mereka meninggalkan ajaran Islam, kerana terpengaruh dengan fahaman sekularisme yang menjatuhkan Khilafah sebagaimana dilakukan oleh Kamal Atarturk. Sehingga Turki sebuah kuasa besar memimpin dunia Islam menjadi negara yang hina. Adapun dunia Islam lain berkecai dan dibahagikan pusakanya oleh kuasa Barat dan Timur yang menjajah.

Reformasi politik melalui demokrasi moden Barat berlaku kerana dipengaruhi oleh tamadun Islam dalam ilmu politik, yang memberikan hak berpolitik kepada rakyat. Akan tetapi reformasi yang berlaku di Eropah pada abad pertengahan itu berkonsepkan sekularisme, kini ternyata kesan negatifnya.

Mereka sekadar mengkaji Islam, tetapi masyarakatnya tidak memeluk Islam dan ilmunya tidak diIslamkan. Begitulah juga tamadun Islam yang diciplak oleh mereka dengan hanya mengambil sains dan teknologi sahaja, akhirnya merosakkan diri mereka sendiri.

Selain terpisah daripada agama, politik di Amerika Syarikat juga lebih dipengaruhi oleh faktor ekonomi kewangan dan media. Oleh kerana dua aspek ini dikuasai oleh Zionis secara berleluasa, maka siapa yang dilihat kuat menyokong Israel, boleh dianggap sudah mendapat kemenangan.

Maka kedua-dua pihak yang bertarung paling besar, antara Demokrat dan Republikan, semuanya mendukung dan menyokong Israel yang menjadi kiblat gerakan Zionis. Perbezaannya hanyalah dari segi pendekatan dalam dukungan yang sama sahaja antara dua gergasi politik di Amerika Syarikat.

Maka malang seribu kali malang dan mungkin beberapa ribu kali malang kerugiannya kepada negara Arab dan Islam yang terpengaruh dengan Zionis itu, sehinga menari mengikut gendang politik di Amerika.

Apabila Donald Trump, mantan Presiden Amerika Syarikat menjadikan agenda normalisasi terhadap negara Israel dan mengiktiraf Baitul Maqdis menjadi ibu negara Israel semasa rancak berkempen dalam Pilihan Raya Presiden di Amerika, ada pula negara Arab dan Islam yang gila memilih untuk bersamanya.

Sekarang entah apa sudah jadi dengan mereka, setelah Trump mengalami kekalahan. Walaupun mereka sama-sama mencuri, dan mengatakan kepada lawannya juga mencuri.

Tindakannya laksana pencuri yang menyelamatkan diri daripada orang ramai yang mengepungnya, dengan mengikut berteriak sama, ‘Pencuri! Pencuri!’.

Apabila mendapat kegagalan, maka ditukar pula kepada taktik merompak dengan menyerang bangunan Dewan Kongres tetapi tetap juga menemui kegagalan.

Adapun Joe Biden yang menang akan tetap meneruskan polisi yang sama, kerana turut dipengaruhi oleh Zionis, apa yang berbeza hanyalah pendekatannya sahaja yang halus.

Laksana angin bertiup sepoi bahasa yang mampu menjatuhkan kera yang berpaut pada dahan yang kukuh, setelah tidak mampu dijatuhkan oleh ribut taufan yang kuat dan ganas.

Maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya, dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya.

Begitulah juga, realiti politik di Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja.

Semua negara sekadar mahu dijadikan buah catur mereka sahaja, mengikut kehendak pemain dan tidak mampu bergerak sendiri. Sekalipun buah catur itu raja, panglima dan hulubalang, namun pergerakannya mengikut siapa pemainnya.

Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan ke dalam urusan negara Islam, seperti menyerang Afghanistan, mengkhadamkan puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran. Termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq, serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya.

Perubahan jawatan Presiden Amerika Syarikat kepada Biden kerana pendekatan campur tangan dahulu telah gagal, tanpa dapat menguasai keadaan, maka perlu diubah tangan pemainnya.

Biden tetap meneruskan polisi yang sama, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja. Khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam.

Kini sudah ada negara yang berlumba untuk mendukung siapa yang menang, kerana melihat peluang untuk berpaut dengan negara yang dianggap besar itu.

Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya.

Peranan Amerika Syarikat dapat dilangsungkan selagi ada manusia yang terus bersedia manjadi khadam mereka, atau meminta untuk menjadi khadam. Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa.

Segala perancangan Amerika Syarikat akan dapat dilakukan, sekiranya masih ada bangsa dan negara yang bersifat masih dijajah pada hakikatnya, walaupun sudah diisytiharkan kemerdekaan sejak beberapa dekad yang lalu.

Mereka masih lagi bergantung dengan pengaruh negara bekas penjajah, walaupun negara penjajah itu sudah gugur satu demi satu di negara masing-masing.

Ada yang masih bergantung kewangannya mengikut mata wang Dolar Amerika yang tidak diketahui apakah ada cagarannya atau hanya kertas kosong yang dicetak sahaja.

Ada juga yang masih bergantung dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan bantuan riba Yahudi. Konsep Zionis yang dilaknat oleh Allah SWT.

Ada yang mendapat bantuan senjata Zionis dengan syarat menjadi khadam mereka, semata-mata demi menjaga kepentingan negara yang masih dianggap kuasa besar. Laksana memuja tuhan yang maha besar, seolah-olah dipercayai kekal abadi seperti Tuhan juga.

Mata wang Dolar Amerika tetap mempunyai dua wajah, walaupun satu keping sahaja. Apa yang berbeza hanyalah dua wajahnya sahaja. Namun, ada negara yang masih berdiri dengan meneruskan pergantungan kepada negara sekeping Dolar yang akan lusuh.

Sepatutnya mereka mempunyai jati diri dengan berdikari dan mencari sahabat yang baik atau rendah tahap jahatnya. Bukan bergantung kepada negara yang telah nyata kejahatannya, membantu mereka laksana telunjuk lurus kelingkingnya yang berkait.

Bantuan ekonomi Amerika Syarikat hanyalah untuk meneruskan penjajahan ekonomi selepas penjajahan politik dan ketenteraan, bukanlah untuk menolong.

Senjata yang dibekalkan bukan untuk memperkasakan negara sendiri, tetapi bagi menjaga kepentingan dan keselamatan negara yang menjadi tuan besar itu sehingga sanggup mencetuskan perang saudara bagi pihak tuannya.

Sepatutnya cuba diperhatikan contoh negara yang mampu berdaulat, seperti Jerman dan Jepun yang kalah teruk dalam Perang Dunia dengan syarat-syarat ketat yang mengikat mereka. Namun, mereka tetap berdikari dengan membangunkan insan yang mempunyai jati diri sendiri dengan budaya dan bahasanya sendiri untuk bangkit semula.

Begitu juga negara Rusia dan China yang kalah dalam Perang Dingin pada era yang lalu, kini menjadi negara contoh kerana mampu bertahan dan bangkit sendiri menjadi kuasa besar.

Korea Utara yang dianggap budak bodoh, dapat juga berdiri dengan bodohnya.

Termasuklah juga Venezuela yang dianggap samseng di Amerika Latin, masih mampu bernafas dengan kuat tanpa bantuan pernafasan penjajahnya.

Terkini dua negara umat Islam, Turki dan Iran kelihatan bangkit sendiri dan tidak menari dengan gendang pilihan raya di Amerika. Ini merupakan tanda yang sangat positif.

Malangnya negara yang kaya hasil bumi, tetapi sangat fakir diri dan maruahnya masih lagi terhegeh-hegeh menagih simpati entah dengan siapa yang menang di Amerika. Walhal di negara sendiri tidak diadakan pilihan raya pun. Jika diadakan sekalipun, hanya pada namanya sahaja pilihan raya.

Sangat malang apabila mereka terlalu banyak melabur kekayaan di negara Amerika Syarikat dan Eropah, berbanding membantu negara umat Islam sendiri, sehingga dilaburkan di tempat yang tersasar daripada lapangan yang sepatutnya.

Mereka sekadar bergembira di kelab judi dan kelab sukan sahaja kerana terlalu rakus pergantungannya kepada pihak yang bukan saudara-mara mereka.

Sehingga perbelanjaan pertahanan pun lebih besar semata-mata untuk melaksanakan perang saudara sesama sendiri, bukannya untuk melawan musuh negara. Sebaliknya senjata dibeli untuk membunuh kawan dan diri sendiri.

Marilah sama-sama bermuhasabah diri sendiri dan membuat perubahan yang positif, dengan membebaskan diri menjadi umat yang benar-benar merdeka dan berdaulat.

Wujudkan jati diri Islam dan perpaduan ummah. Jangan berpecah belah, bacalah al-Quran dengan bahasa ibunda sendiri. Allah SWT berfirman:

﴿وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ٤٦﴾

“Dan taatilah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah al-Anfal: 46)

Maka apakah guna kaya harta, kalau jiwanya hina lagi papa kedana.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Jumadal Akhirah 1441 / 28 Januari 2021