Home Berita PAS Kelantan

Teknik belajar berstrategi, ‘Qiamulail’ faktor kejayaan Ain Qitrin Azmi

267
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 16 Jun: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan minggu lalu amat mendebarkan kerana ia menjadi kayu ukur keberkesanan sistem pendidikan gaya baharu sekali gus mencatat pengalaman bersejarah bagi perintis kluster SPM yang menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pelajar terbaik keseluruhan sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK), Ain Qitrin Azmi Nazmi, 18, dari Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Kelantan mengakui pengalaman belajar secara maya amat berbeza dengan berguru secara fizikal di sekolah.
“Cikgu mengajar dengan pelbagai teknik manakala kaedah nota suara agak sukar untuk saya fokus. Oleh itu, saya belajar secara kendiri dahulu sebelum kelas bermula supaya mudah faham apabila mendengar rakaman suara cikgu tersebut”, katanya.
Menurut beliau, pelajar perlu mengenali dan menetapkan cara ulangkaji yang paling bersesuaian dengan diri-sendiri. Jika selesa belajar pada waktu malam, bolehlah berbuat demkian. Begitu juga sebaliknya.
“Biasanya saya tidur pukul 10.00 malam dan bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk ‘qiamullail’ (beribadat sebelum waktu Subuh dengan mengerjakan amalan sunat) dan belajar.
Tempoh belajar bergantung kepada kemampuan kita pada hari itu dan ikhlaskan niat belajar bukan semata-mata untuk mendapat kecemerlangan, tetapi mendapat keredaan Allah dan ibu bapa”, ujarnya.
Anak kelima daripada lapan beradik ini juga berpesan, setiap pelajar wajar merangka pelan bagi setiap sesi ulangkaji kerana katanya, akan ada hari kita diuji kesakitan, kepenatan atau hilang semangat untuk belajar, jadi persediaan lebih awal mampu membantu kestabilan emosi.
“Pelajar mesti mahir mengubah kebiasaan dengan membuat latihan menggunakan telefon pintar untuk menjawab kuiz, bersoal-jawab melalui Google Form, mendengar video guru mengajar dalam You Tube atau Live Instagram”, tambahnya.
Di samping itu, beliau turut menyarankan bakal calon SPM 2021 membaca skema jawapan peperiksaan SPM tahun-tahun lepas dengan mengenal pasti teknik menjawab soalan bagi setiap subjek agar serasi dengan gaya tersebut dan tidak berasa terbeban dek ketidakbiasaan.
Tips terakhir yang dikongsikan oleh peminat bidang sains pergigian ini ialah jangan membandingkan keupayaan diri dengan orang lain kerana semua orang mahukan kecemerlangan. Meskipun destinasi kita sama, niat, tahap ikhtiar dan kandungan doa setiap orang itu berbeza. Hanya Allah penentu yang terbaik untuk hamba-Nya.