Home Berita PAS Kelantan

Teguh kepada perjanjian, kunci kemenangan

125
SHARE
Antara peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Ramadan ialah Pembukaan Kota Makkah. Peristiwa Fathu Makkah ini berlaku pada 20 Ramadan tahun ke lapan hijrah.
Peristiwa besar ini berlaku selepas golongan musyrikin Quraish mencabul Perjanjian Hudaibiyah iaitu perjanjian damai yang telah dibuat antara mereka dengan Rasulullah SAW. Perjanjian ini telah menetapkan gencatan senjata selama 10 tahun, antara kedua-dua pihak dan juga sesiapa yang mahu menjadi sekutu mereka.
Kabilah Khuzā’ah yang telah memilih untuk menjadi sekutu Rasulullah SAW telah diserang hendap pada waktu malam oleh kabilah Bani Bakr yang merupakan sekutu bagi golongan kafir Quraish. Serangan hendap ini telah mendapat sokongan dan bantuan daripada beberapa individu Quraish sendiri, dan menyebabkan ramai yang terkorban dari pihak Khuzā’ah.
Wakil kabilah Khuzā’ah pun menyampaikan berita ini kepada Rasulullah SAW, maka Baginda pun memberikan jaminan akan menuntut bela terhadap pencabulan ini.
Quraish yang mendapat tahu tentang perkara ini telah mengutuskan Abu Sufyan untuk membuat rundingan, namun pihak kerajaan Islam Madinah langsung tidak mengendahkannya. Pihak yang melakukan pengkhianatan terhadap perjanjian mesti menanggung akibatnya.
Maka akhirnya, berkat kesabaran orang-orang Islam yang berpegang teguh dengan perjanjian, Allah SWT mengurniakan nikmat Pembukaan Kota Makkah, yang merupakan ibu kota golongan musyrikin Quraish. Peristiwa ini merupakan kemenangan besar bagi kaum muslimin, yang benar-benar istiqamah dalam perjuangan menegakkan agama Islam di muka bumi ini.
Terjadinya peristiwa ini dalam bulan Ramadan memberikan isyarat, bahawa bulan yang mulia ini mengandungi pelbagai nikmat dan rahmat, yang diperuntukkan bagi mereka yang beriman dengan janji Allah dan Rasul-Nya.
Mudah-mudahan kita diberikan taufiq untuk terus beristiqamah dalam perjuangan Islam ini, sehingga mencapai kemenangan.
https://www.facebook.com/datonikamar
MOHD AMAR ABDULLAH | 22 RAMADAN 1442
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim