Home Artikel PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 18

463
SHARE

19 Ramadan 1441H
12 Mei 2020M

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.
بسم الله الرحمن الرحيم.
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين.

BULAN RAMADAN BULAN GANDAAN GANJARAN

Sebab-sebab Digandakan Balasan Sesuatu Amalan

Ketahuilah, bahawa Allah Taala menggandakan balasan sesuatu amalan kerana beberapa sebab. Di antaranya:

1) Kemuliaan tempat dilakukan sesuatu amalan seperti Tanah Haram.

Allah menggandakan amalan yang dilakukan di dalam Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi yang mulia, sebagaimana yang telah ditetapkan dalam sebuah hadith sohih, Rasulullah SAW bersabda:
صلاة في مسجدي هذا خير من ألف صلاة فيما سواه من المساجد إلا المسجد الحرام.
Al Bukhari.

“Satu sembahyang yang dikerjakan di dalam masjidku ini (Masjid Nabawi) adalah lebih baik daripada seribu sembahyang yang dikerjakan di dalam masjid yang lain, melainkan Masjidil Haram.”

Begitu juga diriwayatkan,bahawa amalan puasa digandakan sekiranya dikerjakan di Tanah Haram.

Di dalam Sunan Ibnu Majah dengan sanad yang dhoif daripada Ibnu Abbas Radhiallahu anhu (Marfu’):
من أدرك رمضان بمكّة فصامه وقام منه ما تيسّر كتب الله له مائة ألف شهر رمضان فيما سواه.

“Sesiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan di Mekah, maka ia berpuasa dan bangun mengerjakan apa yang mudah (amal ibadah seperti sembahyang dan lain-lain), nescaya Allah menulis baginya 100,000 bulan Ramadan di tempat yang lain.”

2) Kemuliaan sesuatu masa seperti kemuliaan bulan Ramadan dan Zulhijjah.

Di dalam hadits yang diriwayatkan oleh Salman Al Farisi (Marfu’) mengenai kelebihan Ramadan, Rasulullah SAW bersabda:
من تطوّع فيه بخصلة من خصال الخير كان كمن أدّى فريضة فيما سواه،ومن أدّى فيه فريضة كان كمن أدّى سبعين فريضة فيما سواه.

Ibnu Maja

“Sesiapa yang mengerjakan (pada bulan Ramadan) secara sukarela satu perkara dari perkara-perkara kebaikan (sunat) maka ia adalah seperti orang yang menunaikan suatu kefarduan pada masa yang lain. Sesiapa yang menunaikan (pada bulan Ramadan) suatu kefarduan, seperti orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”

Di dalam Sunan al Tirmizi daripada Anas Radhiallahu anhu, Nabi Saw ditanya:
أيّ الصّدقة أفضل؟ قال: صدقة في رمضان.

“Apakah sedekah yang paling utama?Jawab Baginda Saw: Sedekah yang dilakukan di dalam bulan Ramadan.”

Manakala di dalam Sohihain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umrah yang dikerjakan dalam bulan Ramadan menyamai pahala amalan haji.”

Al Nakhaie berkata: Puasa sehari pada bulan Ramadan adalah lebih afdhal daripada puasa seribu hari pada bulan yang lain. Satu tasbih pada bulan Ramadan lebih afdhal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu rakaat sembahyang yang dikerjakan pada bulan Ramadan adalah lebih afdhal daripada seribu rakaat sembahyang yang dikerjakan pada bulan yang lain.

Allah Taala menggandakan ganjaran amalan puasa lebih daripada amalan-amalan yang lain. Apatah lagi sekiranya puasa tersebut dilakukan pada bulan Ramadan, maka sudah tentu ganjarannya lebih berlipat kali ganda daripada amalan puasa yang dilakukan pada bulan yang lain kerana kemuliaan bulan Ramadan dan puasa yang dilakukan adalah puasa yang difardhukan oleh Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Puasa juga merupakan salah satu dari rukun Islam.

3) Pahala sesuatu amalan juga digandakan oleh Allah Taala disebabkan kemuliaan dan kekuatan taqarrub seseorang yang beramal di sisi Allah sepertimana Allah menggandakan amalan umat Muhammad SAW berbanding dengan umat-umat yang lain.

Semoga dapat kita melaksanakan kewajipan puasa dengan sepenuh ikhlas dan mendapat ganjaran yang berganda disisi Allah Taala.
Sekian..

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين والحمد لله رب العالمين…. والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Tazkirah Ramadan bersama:

USTAZ ABU SAKINAH
• Pengerusi Majlis Muafakat Pondok Negeri Melaka
• AJK Dewan Ulamak PAS Melaka

19 Ramadan 1441H | 12 Mei 2020


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)