Home Kenyataan Media Presiden PAS

Perutusan Khas Presiden PAS Sempena Lailatul Qadr

683
SHARE


PERUTUSAN KHAS PRESIDEN PAS SEMPENA LAILATUL QADR

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ١ وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ٢ لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ٣﴾

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadr (1); Dan apakah caranya engkau dapat mengetahui kebesaran malam Lailatul Qadr itu? (2); Malam (Lailatul Qadr) lebih baik daripada seribu bulan. (3). (Surah al-Qadr: 1-3)

Lailatul Qadr adalah malam yang diberi kelebihan apa sahaja ibadat yang ditunaikan sama ada ibadat yang wajib atau sunat dengan pemberian pahala yang menyamai kelebihan seribu bulan. Ia adalah hidayah dan kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Lailatul Qadr sangatlah mulia sehingga Allah SWT memilih untuk diturunkan padanya al-Quran secara sempurna serentak, diturunkan wahyu yang pertama kepada Rasulullah SAW. Al-Quran menjadi petunjuk kepada seluruh manusia yang bertaqwa. Ini menunjukkan ada hubungan yang penting antara konsep taqwa dengan al-Quran petunjuk sepanjang zaman.

Kita perlu menyedari bahawa Lailatul Qadr disediakan oleh Allah SWT bagi menggalakkan kita melakukan ibadat untuk meningkatkan ketaqwaan kita. Kita tidak boleh sekadar hendak mengejar pahala yang banyak sahaja tanpa berusaha menjadi hambaNya yang bertaqwa.

Marilah kita mencari kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT yang diberikan kepada sesiapa yang amal ibadatnya bertepatan dengan malam itu. Mudah-mudahan kita beroleh taqwa apabila Ramadhan berlabuh pergi meninggalkan kita.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 19 Ramadhan 1441 / 12 Mei 2020