Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Pagi Jumaat : Letaklah Islam Di Atas Sekali

1717
SHARE


بِسْم اللّهِ ٱلرحْمَٰنِ ٱلرحِيم

Al-Baqarah 2:2

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَٰبُ لَا رَيْبَۛ فِيهِۛ هُدًى للْمُتقِينَ

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.

Assalammualaikum wbt para pembaca yang dirahmati Allah. Saya doakan kita semua sentiasa berada di dalam rahmat Allah swt dan juga keluarga kita.

Sahabat ku sekalian, ayat Al-Quran di atas adalah firman Allah yang wajib kita beriman dengan sepenuhnya. Allah beritahu Al-Quran itu tidak ada sebarang keraguan dan syak di dalamnya, untuk apa Al-Quran yang tiada syak dan wasangka ini? Ianya adalah sebagai petunjuk. Untuk siapa petunjuk ini? Untuk mereka yang ingin mencari jalan menjadi orang-orang yang bertaqwa. Kerana dengan takwa itulah kita akan selamat dan menjadi mulia di sisi Allah.

Firman Allah swt:

اِنَّ أَكرَْمَكمُْ عِنْدَ اللّه اَتْقَاكمُْ

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa.” [Al-Hujurât: 13].

Bagaimana pula dengan sunnah nabi Muhammad saw? Sepertimana yang kita lihat firman Allah dalam surah Al Baqarah di atas yang mengatakan bahawa Al-Quran itu tiada syak wasangka di dalamnya, maka di dalam Al-Quran juga dengan jelas telah mengiktiraf dan memuliakan serta mewajibkan kita semua untuk beriman dengan kekasih dan junjungan besar nabi kita Muhammad saw. Maka jika kita ingin menjadi seorang yang bertakwa dan diiktiraf oleh Allah swt untuk menjadi hamba-Nya yang mulia di sisi-Nya, tidak boleh tidak dan tiada pilihan kita mesti mengambil Al-Quran dan Sunnah nabi Muhammad saw sebagai petunjuk jalan untuk kita menuju ketakwaan. Selain daripada Al-Quran dan sunnah akan membawa kita ke jalan yang jauh daripada ketakwaan.

Sahabat ku sekalian, adalah amat penting sekali untuk kita benar-benar faham dan mengerti betapa pentingnya meletakkan Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad saw di atas sekali dalam kehidupan kita kerana apa yang kita letakkan di atas sekali dalam kehidupan ini akan mencorakkan pemikiran, keputusan dan tindakan kita.

Saya ambil contoh mudah. Jika kita ingin membeli makanan, paling tidak kita akan melihat tanda halal dan juga kita mungkin akan melihat bahan-bahan di dalam makanan tersebut supaya tiada benda haram.

Kenapa kita boleh melihat tanda halal tersebut? Sebab kita meletakkan Islam di atas sekali. Begitu juga jika kita ingin membeli pakaian kita akan melihat adakah ianya menutup aurat atau tidak. Kenapa kita buat begitu? Kerana kita meletakkan Islam di atas sekali.

Begitu juga ketika mahu makan, masuk dan keluar tandas, tidur, berkahwin dan lain-lain perbuatan kita kebanyakkannya jika kita sedari kita berhati-hati dan mengikuti Islam. Kenapa boleh terjadi begitu? Sebab kita meletakkan Islam di atas sekali.

Namun malangnya juga tanpa disedari ada perkara yang tidak kita letakkan Islam di atas sekali. Kita boleh muhasabah sendiri diri kita dalam perkara-perkara yang masih belum kita letakkan lagi Islam sebagai panduan tertinggi dalam kehidupan kita. Ingatlah wahai sahabat ku sekalian, apa yg kita letakkan atas sekali sebagai panduan akan mencorakkan pemikiran, keputusan dan tindakan kita.

Firman Allah swt:

Al-Baqarah 2:208

يَٰٓأيّهَا ٱلذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱدْخُلُوا۟ فِى ٱلسلْمِ كآَفةً وَلَا تَتَّبِعُوا۟ خُطُوَٰتِ ٱلشيْطَٰنِۚ إنَّهُۥ لَكمُْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Wahai sahabat ku sekalian.

Ambillah Islam ini dengan sempurna kerana Islam itu adalah agama yang sempurna. Kerana apabila kita tidak mengambil Islam itu dengan sempurna, maka kita telah menurut jejak langkah syaitan kerana jika kita tidak mengambil Islam itu secara keseluruhan. Maka bahagian yang tidak kita ambil Islam itu kita ambil jalan siapa? Sebab Allah hanya mengiktiraf dan reda Islam sahaja yang menjadi jalan yang benar untuk diikuti.

Firman Allah swt:

Aal-e-Imran 3:85
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإسْلٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلخَْٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Jangan sampai kita menjadi orang-orang yang merugi di hari akhirat kelak sepertimana yang Allah firmankan di atas. Kerana apabila Allah berkata rugi, maka sedarlah bahawa kerugian itu adalah bersifat sebenar-benar kerugian dan amat menakutkan kerana disertai dengan azabNya yang amat pedih.

Allah tidak akan menerima apa-apa pun daripada seseorang itu jika ianya tidak menepati syariat Islam walaupun zahir nampak perbuatannya logik dan baik tetapi jika tidak menepati syariat Islam maka akan di tolak oleh Allah swt.

Jadi bagaimanakah jalan untuk kita mengetahui bahawa adakah apa yang kita lakukan itu menepati syariat Islam atau tidak? Iaitu dengan menuntut ilmu daripada golongan yang mengetahui, ustaz-ustaz dan para ulamak yang mursyid yang mengikuti manhaj Ahlus sunnah wal jamaah.

Akhir kalam, apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan apa yang kurang dan lemah itu saya memohon ampun daripada Allah. Semoga Allah memberikan kita hidayah dalam mencari jalan kebenaran seterusnya menjadi hamba-Nya yang bertakwa dan di matikan kita dalam husnul khatimah, dimasukkan kita ke dalam syurga serta dapat berjumpa dengan kekasih dan juga nabi kita Muhammad saw.

USTAZ MOHD SHAFIQ ISMAIL
Ketua Urusan Ulamak PAS Tangga Batu
Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)