Home Berita PAS Melaka

Ustaz Imran Sebak Melepaskan Jenazah Ahmad Hasim

1782
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH : Suasana sedih menyelubungi keluarga dan hadirin yang menziarahi dan menyembahyangkan jenazah Penolong Setiausaha PAS Masjid Tanah Allahyarham Ahmad Hasim ketika Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman memberikan sepatah dua kata sebelum jenazah diusung ke tanah perkuburan di sini semalam.

Allahyarham Ahmad Hasim yang berumur 56 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 pagi semalam di Hospital Alor Gajah Melaka dan disembahyangkan di kediaman Allahyarham di Kuala Linggi.

Imran yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah berkata, pemergian Allahyarham Ahmad Hasim adalah satu kehilangan yang sangat besar kepada PAS Kawasan Masjid Tanah kerana komitmen dan cara bekerja Allahyarham sebagai Penolong Setiausaha selama ini tidak mungkin mampu ditiru oleh sesiapa sahaja.

“Allahyarham Ahmad Hasim ini bukan sebarangan orang. Kita jadi saksi bahawa Allahyarham ini sehingga ke hembusan nafas terakhirnya adalah seorang yang terus bekerja untuk Islam.

“Dalam keadaan beliau yang sangat uzur dan menderita sakit gout yang teruk namun beliau terus melakukan kerja-kerja parti. Lebih kuat dia bekerja berbanding dengan sesetengah kita yang sihat walafiat.

“Semoga segala kerja buat dan pengorbanan beliau selama ini diterima sebagai jihad dan amal jariah. Marilah kita sama-sama menjadi saksi atas segala kebaikannya selama ini.” Tambah beliau lagi dengan nada yang sangat sebak di hadapan orang ramai yang turut sama menunaikan solat jenazah yang didirikan di perkarangan rumah Allahyarham.

Komitmen Allahyarham Ahmad Hasim sebagai Penolong Setiausaha diakui sendiri oleh Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamaruddin Ahmad.

Menurut Jamaruddin akhir-akhir ini Allahyarham kerap menelefon beliau bertanya tentang perkembangan laporan-laporan mesyuarat agung cawangan yang masih belum siap.

“Dalam keadaan sakit dan keuzuran itu pun dia masih memikirkan tentang kerja-kerja yang masih belum siap. Memang komitmen Allahyarham selama ini amat luar biasa.” tambah Jamaruddin lagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru di sini, tengahari semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Perhubungan PAS Melaka, Asri Shaik Abdul Aziz, Ketua Penerangan PAS Melaka, Haji Bakri Jamaluddin, Pengarah Pilihanraya PAS Melaka, Bihiki Ismail dan ramai lagi pimpinan PAS Negeri juga dari kawasan-kawasan lain.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)