Home Berita PAS Johor

Tawan hati pengundi muda keluar mengundi

144
SHARE

Oleh ABU HADIF

TEBRAU, 30 JUL : Usaha yang relevan mengikut kesesuaian semasa harus disusun untuk memastikan pengundi muda supaya keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Demikian ucapan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Tebrau, Ustaz Haji Khirul Muntanazar Ismail ketika menyampaikan ucaptamanya dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke -37 PAS Kawasan Tebrau sebentar tadi.

“Kesedaran para pengundi muda terutama daripada kalangan mereka yang pertama kali mengundi (First Time Voter) harus diteruskan melalui kempen, program dan seumpamanya dengan kerjasama semua peringkat cawangan dan dewan,” tambahnya.

Beliau turut berkata bahawa sikap tidak ambil peduli anak muda hari ini, mengenai kepimpinan negara yang dibentuk melalui demokrasi pilihan raya dengan tidak keluar mengundi amat perlu diberi perhatian.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Dewan ‘Ulamak PAS Pusat juga menyatakan kebimbangan dan kerisauan dengan perkembangan semasa anak muda hari ini yang semakin jauh dengan kefahaman agama dan mengambil aliran fahaman yang tidak bersesuaian dengan norma kehidupan manusia.

Dalam masa yang sama, antara intipati ucapan beliau juga turut mengatakan peranan ulamak dalam masyarakat dan jemaah sebagai benteng akidah ummah dengan pencerahan dan penyampaian ilmu.

Majlis berkenaan yang diserikan pengacara majlis yang memimpin acara dengan bertutur dalam bahasa Arab, telah disempurnakan perasmiannya oleh Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin dihadapan kira-kira 70 orang peserta yang diadakan di TS Hotel, Scientex Pasir Gudang.

Turut hadir Ketua Parti Pribumi Bersatu Tebrau, Kamaruzaman Abu dan pengiring ; YDP PAS Pasir Gudang, Tuan Haji Puhat Ibrahim; Ketua Dewan Pemuda PAS Tebrau, Ketua Dewan Muslimat dan seluruh perwakilan serta pemerhati mewakili cawangan dan dewan masing-masing.

“Tindakan yang sewajarnya disemua peringkat saya harapkan dengan peranan dan kerjasama semua termasuk pemuda, muslimat dan ulamak, dengan memanfaatkan teknologi dan media sosial melalui pendekatan yang kreatif, berhikmah serta boleh diterima segenap lapisan masyarakat” kata beliau mengakhiri ucapannya.