Home Berita PAS Johor

Mesyuarat agung medan muhasabah diri, perkukuh organisasi

128
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

MUAR, 31 Jul : Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) adalah satu medan untuk para pimpinan kawasan, dewan-dewan, cawangan dan ahli untuk bermuhasabah diri serta mengukuhkan perjalanan organisasi.

Demikian antara ucapan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Cikgu Roslan Nekmat ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Muar Kali ke-37 di Dewan An Nur, Pusat Tarbiyah PAS Muar, Parit Pechah, semalam.

Tambah beliau lagi, “Sebagai amilin PAS yang telah melalui proses pentarbiyahan dalam usrah-usrah, liqa fiqri, tamrin dan pelbagai program tarbiyah, seharusnya sering melakukan muhasabah diri sendiri.

“Tarbiyah dan dakwah seharusnya perlu seiring, sepadu dalam diri. Amalkan solat di awal waktu, sentiasa solat berjemaah jangan sampai ditinggalkan, solat malam dan melazimi juga solat-solat sunat yang lain termasuk puasa sunat. Ini adalah bagi menambah nilai peningkatan amalan diri untuk sentiasa lebih baik, ” ujarnya.

Dua tugasan utama kita, perlu tekadkan pada diri iaitu ; mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran.

Sekiranya ada iman yang kukuh, dapatlah dilaksanakan tugasan itu. Dengan iman kita gunakan sedaya upaya kita membantu perjuangan menjaga agama Islam lebih-lebih lagi di bidang siasah.

“Niatkan di hati kita untuk korbankan jiwa dan raga demi untuk menjaga agama Allah. Moga Allah permudahkan dan memberikan pertolongan. Mudah-mudahan niat dan usaha kita itu melayakkan kita untuk mendapat naungan Allah di akhirat nanti.

“Peringatkan kepada diri, kita berkhidmat kepada jemaah bukan mencari peluang mendapat kekayaan, pangkat dan kemewahan. Jangan menyalahgunakan kuasa, wang dan pangkat yang ada. Jauhi dari rasuah, penyelewengan dana dan menzalimi orang lain.

“Melalui program tarbiyah yang kerap dan mantap, mampu mendidik hati dan jiwa untuk membetulkan niat kita. Habiskan baki umur kita dengan melakukan banyak kebaikan , membantu agama, berjuang agar dapat lahir pemerintahan yang bersih, pemimpin yang adil memberi kebajikan kepada rakyat.

Pimpinan dan ahli sama-sama melakukan gerak kerja membantu organisasi parti. Amalkan sikap wala’ kepada arahan pimpinan bukan seronok sendiri. Pastikan organisasi sentiasa disusun atur dan diperkukuhkan agar lebih baik. Saling membantu dalam gerak kerja dan mantapkan ukhuwah.

Turut hadir ialah Yang diPertua PAS Muar, Cikgu Abd Aziz Talib yang juga merupakan ADUN Maharani, Naib Yang diPertua PAS Muar, Dr Mohamad Taslim, Timbalan Assabiqat PAS Pusat, Fatimah Ismail, Ketua Bersatu Bahagian Muar, Basut Nin bersama Timbalannya Datuk Zainudin Sayuti serta beberapa ahli jawatankuasanya.

Majlis turut diserikan oleh persembahan silat anak-anak remaja Persatuan Silat Chemande dan gimik pelancaran PAS Pilihanku serta cenderahati kepada cawangan yang dapat menambah ahli yang banyak pada bulan Julai. Dimenangi cawangan Seri Muda, Parit Nipah dan cawangan Al Hidayah.