Home Berita PAS Melaka

Talian kasih aduan sosial 24 jam – Siti Zailah

418
SHARE

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

ALOR GAJAH, 20 Mac : Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kementeriannya telah berusaha mempermudahkan segala aduan dengan menyediakan perkhidmatan Talian Kasih yang beroperasi 24 jam sehari dan bebas tol.

Talian ini, menurutnya, menerima segala bentuk aduan seperti permohonan bantuan, kaunseling ataupun sekiranya berlaku apa-apa kejadian keganasan, penderaan dan sebagainya.

Tambah Siti Zailah lagi, pegawai yang mengendalikan talian ini boleh dihubungi melalui sms di nombor 15999 dan applikasi WhatsApp di nombor 019-2615999.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai perkara itu dalam satu sesi ‘townhall’ yang berlangsung di Kompleks Japerun Taboh Naning, Alor Gajah di sini, semalam.

Siti Zailah turut menjelaskan bahawa segala aduan akan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Pegawai Pelindung JKM, PDRM dan Lembaga Kaunselor Negara untuk diambil tindakan segera.

“Kita berhubung rapat dengan semua agensi berkenaan dan mempunyai lebih dari 784 orang kaunselor berdaftar di seluruh negara,” ujarnya di dalam sesi interaksi.

Antara perkara lain yang didialogkan adalah mengenai geran-geran yang disediakan kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), bantuan khas latihan sukarelawan muda, kursus untuk remaja, kursus keibubapaan dan masalah keruntuhan moral kesan laman sesawang Sugarbook.

Di dalam ucapan penutup sesi ‘townhall’ itu semalam Siti Zailah menasihati perwakilan NGO supaya memberi perkhidmatan yang terbaik, menghulur tenaga semasa bencana di pusat pemindahan banjir.

Tambah beliau lagi, NGO juga disaran untuk memberi bantuan kepakaran seperti rawatan medik serta tangani isu jenayah dengan memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan menjaga sesama jiran tetangga dan membuang sikap ‘tidak mahu menjaga tepi kain orang’ supaya kejadian kematian mangsa dera tidak berulang.

Majlis yang turut dihadiri Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Wira Latipah Omar didahului dengan penerangan mengenai perkhidmatan Jabatan Pembangunan Wanita oleh Pegawai Tadbir JKM Melaka Noraisyah Md Syukor.

Turut memberi penerangan adalah Timbalan Pengarah JKM Melaka, Shahani Shabudin dan Pegawai penerangan LPPKN Zakri bin Rihan mengenai perkhidmatan JKM dan LPPKN masing-masing.

Sebanyak 13 buah NGO dan pemimpin tempatan telah menghantar perwakilan bagi mengikuti program townhall ini.

Turut hadir di dalam program ‘townhall’ ini ialah Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin dan ahli-ahli jawatankuasa beberapa buah NGO negeri Melaka.