Home Berita PAS Melaka

NGO digesa jadi mata telinga JKM – Siti Zailah

271
SHARE

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

ALOR GAJAH, 20 Mac : “Peranan NGO (Badan Bukan Kerajaan) sebagai mata dan telinga JKM, ada macam-macam kategori (yang) ada, yang tak dapat bantuan.

“Bantulah dengan pergi ke rumah golongan yang memerlukan, tolong dia dalam urusan hariannya atau bantu belikan barang keperluan.”

Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dalam satu sesi ‘townhall’ yang berlangsung di Kompleks Japerun Taboh Naning, Alor Gajah di sini, semalam.

Dalam ucapan pembukaannya itu, beliau menyeru NGO dan juga individu perseorangan supaya tampil membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dengan menghulurkan maklumat mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Siti Zailah dalam ucapannya turut menggalakan agar orang ramai terutamanya aktivis NGO agar mendaftar sebagai sukarelawan JKM.

“Daftarlah sebagai sukarelawan JKM kerana terdapat kira-kira 10 ribu orang yang susah di negeri Melaka yang masih belum dibantu.

“Sukarelawan ini boleh melapor dan mendaftarkan mereka kepada JKM bagi membolehkan mereka mendapatkan bantuan bulanan,” sambungnya.

Sebanyak 13 buah NGO dan pemimpin tempatan telah menghantar perwakilan bagi mengikuti program ‘townhall’ ini.

Turut hadir di dalam program ‘townhall’ ini ialah Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri Melaka, Datuk Wira Latipah Omar, Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Melaka, Mohsin Ibrahim, Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad, Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah, Ustaz Syahbudin Senin dan ahli-ahli jawatankuasa beberapa buah NGO negeri Melaka.