Home Berita PAS Kelantan

Tak perlu hantar surat, kata Speaker Dun

811
SHARE

JELI – Susulan isu hilang kelayakan sebagai Adun, Speaker Dun Kelantan,Datuk Abdullah Ya’kub menegaskan pihaknya tidak perlu menghantar surat kepada Datuk Mat Yusoff Ab Ghani.

Menurutnya, beliau hanya mengisytiharkan tentang kelayakan Mat Yusoff sebagai Adun selepas Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor mengisytiharkan Adun Nenggiri muflis dan belum menyelesaikan perkara itu.

“Tak perlu hantar surat. Beliau sendiri maklum mengenai perkara itu.

“Beliau diisytiharkan muflis dan belum selesaikan lagi, kalau selesai, tak ada masalah. Saya sebagai Speaker isytiharkan beliau hilang kelayakan sebagai Adun kerana kebangkrapan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mat Yusoff yang menegaskan belum menerima sebarang surat berhubung pengguguran jawatan sebagai Adun Nenggiri.

Mengulas tindakan Mat Yusoff yang mempertikaikan cara beliau mengisytiharkan kebangkrapannya terus kepada media, Abdullah berkata, beliau hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta.

“Saya bertindak sebagaimana diminta. Saya hanya nyatakan beliau hilang kelayakan sebagai Adun disebabkan muflis,” katanya.

Mat Yusoff sebelum ini mempertikaikan tindakan Abdullah yang mengisytiharkan kebangkrapan beliau terus kepada media dan menyifatkan ia tidak mengikut peraturan dan Undang- Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.- SINAR HARIAN 7 JUN 2017