Home Berita PAS Kelantan

Sultan Kelantan titah rakyat kekal patuhi PKP pada hari raya

214
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 15 Jul: KDYMM Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negeri Kelantan Darulnaim, Sultan Muhammad V menitahkan rakyat Kelantan kekal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan dan tidak merentas negeri untuk berhari raya di kampung halaman.
“Tidak berjumpa dengan ibu bapa dalam pandemik bukan bermakna tidak menyayangi mereka. Sebaliknya, ini adalah pilihan yang lebih bertanggung jawab demi melindungi keluarga masing-masing.
Apabila kita tidak berjumpa mereka, kita tidak mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan virus COVID-19 yang kini mempunyai mutasi yang semakin ganas dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi”, titah baginda melalui kenyataan rasmi, hari ini.
Baginda turut berpesan supaya rakyat sentiasa berwaspada dan tidak alpa dalam mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar tidak dijangkiti virus COVID-19 memandangkan kes positif di Kelantan masih di paras tiga angka.
Berikutan kes di dalam negara yang menunjukkan peningkatan yang amat membimbangkan sehingga 13,215 kes hari ini, Sultan Muhammad V turut menasihatkan pembukaan masjid dikekalkan seperti ketetapan sedia ada.
Baginda juga menyeru rakyat mengambil iktibar daripada kluster masjid yang berlaku sebelum ini dengan melakukan pencegahan kendiri kerana virus tersebut tidak mengenal orang, tempat dan waktu berdalilkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Seterusnya, rakyat diseru agar bersabar menempuhi kesukaran ini dan berganding bahu memainkan peranan dalam membantu meringankan beban para petugas kesihatan yang sedang gigih berusaha menyelamatkan nyawa ribuan pesakit di seluruh negara.
Khatimahnya, baginda mengajak semua rakyat terus berdoa supaya kes yang mencanak dapat dilandaikan dan imuniti kelompok berjaya dicapai secepat mungkin.