KOTA BHARU, 22 Dis: Mata rantai perjuangan kepimpinan ulama berdasarkan Membangun Bersama Islam (MBI) cetusan mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat bermula pada tahun 1990 menerusi kaedah membumikan tiga teras Ubudiyyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) dilestari oleh pewaris legasi, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang mulai merakyat pada tahun 2013.
Intisari pencapaian selama 30 tahun tersebut dirangkum ke dalam naskhah Sukses terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang mendokumentasi kejayaan tadbir urus Kerajaan Kelantan dalam mencapai Tonggak 3K – Keberkatan Kemakmuran Kebajikan yang diperkemaskini para era Dato’ Ahmad melalui pelan induk pembangunan mampan Negeri Kelantan.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata gagasan Merakyat Membangun Bersama Islam wajar diarusperdanakan.
“Hari ini selepas 30 tahun, kita bukan setakat memerintah Kelantan bahkan menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan. Justeru, seluruh jentera penerangan diharapkan dapat mengambil peluang dan manfaat ini untuk diketengahkan gagasan Merakyat Membangun Bersama Islam. Kerjasama juga mestilah dijalin antara agensi penerangan negeri dan Persekutuan dengan lebih erat dan padu”, katanya ketika merasmikan program Taklimat Sukses: Merakyatkan Membangun Bersama Islam di Dewan Teratai, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS), Dr Wan Nik Wan Yussof menyifatkan Sukses setebal 100 halaman itu umpama buku nota yang memaparkan isi penting tentang pencapaian 90 peratus program kemajuan Kelantan mengikut acuan Islam. Baki sepuluh peratus sedang dalam proses pelaksanaan.
“Kecemerlangan pencapaian inilah wajar sampai kepada pengetahuan rakyat tempatan dan di luar negeri melalui sebaran lisan dan tulisan oleh para jentera penerangan mengikut kesesuaian format media baharu”, katanya semasa memberi ucaptama program yang berlangsung secara hibrid.