Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
KOTA BHARU, 28 Sept: Kerajaan Kelantan melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) mengambil inisiatif melahirkan usahawan muda dengan mewujudkan satu lagi platform perniagaan berkonsepkan mini bazar yang dipanggil ‘Stesen MekAwey’.
Pusat jualan makanan dan minuman setempat itu dijangka beroperasi esok, 29 September di District 50, Bandar Baru Tunjong.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berharap idea penjenamaan ‘ada pitis, ada penampilan akhlak dan ada gah’ cetusan U-BeS bersama vendor terpilih dapat melahirkan usahawan belia Kelantan bermaruah.
“Syabas U-BeS kerana berjaya menarik minat lima vendor yang bersetuju untuk menjadi perintis program iaitu Syukor Burger, Street Bite, Mr Tako, Subdepo Fried Chicken dan Brew Street Coffee” katanya ketika merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ‘Stesen MekAwey’ di Hotel H Elite, semalam.