Home SKIMPAS

SkimPAS: Jamaluddin julang nama Bukit Gantang

36
SHARE

BUKIT GANTANG: Kegigihan beliau memperkenalkan Skim Kifalah Ahli PAS (SkimPAS) untuk ahli-ahli PAS sejak 2016 akhirnya membuahkan hasil apabila PAS Kawasan Bukit Gantang dinobatkan sebagai Kawasan Teramai Peserta skim tersebut tahun ini.

Pegawai Skim Khairat, Jamaluddin Othman, 63 berkata, kejayaan ini dicapai hasil kerjasama erat daripada Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan dan Cawangan yang kerap melakukan promosi dalam kalangan ahli-ahli PAS.

“Saya tidak akan melepaskan peluang untuk memperkenalkan SkimPAS di setiap program dan perjumpaan bersama ahli-ahli PAS di semua peringkat sambil memanfaatkan bahan-bahan promosi yang di sediakan oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Sehingga 17 Mei, seramai 614 ahli telah menyertai SkimPAS di Bukit Gantang dan untuk tahun ini sahaja seramai 333 ahli baru didaftarkan,” ujar beliau.

Beliau turut dibantu oleh isterinya, Zulina Mohamed, 54 dalam memperkenalkan SkimPAS pada program-program anjuran Muslimat Kawasan dan Cawangan-cawangan di seluruh Bukit Gantang.

“Saya mensasarkan seramai 2,000 ahli menyertai skim ini sebagaimana yang ditetapkan oleh PAS Pusat bagi setiap Kawasan dan usaha promosi digiatkan sepanjang tahun.

“Ia dilakukan dengan memanfaatkan klip video, poster dan artikel berkaitan skim ini untuk sebaran di media-media sosial.

“Sehingga kini, seramai tiga waris telah menerima manfaat khairat kematian SkimPAS di Bukit Gantang dan kami sedang memproses satu lagi sumbangan khairat kepada waris peserta skim itu,” tambahnya.

Kelmari , PAS Bukit Gantang melalui Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad telah menerima inisiatif berjumlah RM1,000 di atas kejayaan sebagai Kawasan tertinggi menyertai SkimPAS.

Negeri Perak pula dinobatkan sebagai negeri ketiga teramai menyertai skim tersebut selepas Selangor dan Kedah di mana hadiah disampaikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. – HARAKAHDAILY 19/5/2020