Home Berita PAS Melaka

Sokong SKIMPAS, ibrah sahabat yang infak setengah biji tamar

382
SHARE

Oleh IBNU JANIE
Foto HANIFF ABD RAHIM

JASIN, 29 Mac : Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail menggesa ahli-ahli PAS supaya terus menyokong dan aktiviti ekonomi parti seperti Skim Perlindungan Ahli PAS (SKIMPAS), sepertimana sahabat Rasulullah SAW yang membantu perjuangan Islam walau dengan setengah biji tamar.

Mengambil ibrah daripada sirah berkaitan salah satu peperangan yang bakal dihadapi Rasulullah SAW dan umat Islam pada masa dahulu, Tuan Guru Zulkifli berkata, ada seorang sahabat yang sangat miskin namun tetap mahu membantu perjuangan Islam.

Tambah beliau lagi, sahabat itu telah bekerja semalaman mengambil upah mengangkat air daripada satu keluarga Yahudi, namun menjelang pagi sahabat ini hanya menerima upah sebiji tamar sahaja.

Menurut Tuan Guru Zulkifli, kerana kepenatan sahabat ini telah memakan separuh tamar itu dan menginfakan separuh lagi untuk perjuangan Islam, lalu tindakan sahabat ini mendapat pujian Rasulullah SAW dalam hadis dengan sabda baginda bahawa sumbangan separuh tamar itu dapat menghindari azab neraka.

“Dengan taujih daripada Rasulullah SAW, sahabat yang kaya sampai sahabat yang papa semua bersedekah. Yang boleh cara Saidina Abu Bakar (menderma) semua sekali (harta didermakan). Yang tak boleh, cara sahabat tadi (menderma) dengan (hanya) separuh buah tamar.

“Semangat ini kita kena hidupkan bagi memberikan momentum besar dalam kejayaan SKIMPAS ini dan begitu juga dengan projek-projek ekonomi parti,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, usaha membantu program ekonomi parti bukan hanya tanggungjawab ahli yang kaya sahaja, namun daripada ahli yang miskin sampai kepada yang paling kaya perlu dimobilisasi untuk membantu parti dalam strategi ekonomi dan semua strategi yang telah diatur.

“Sehingga akhirnya insya-Allah kita akan tengok PAS ini sudah barang pasti dengan izin Allah mencapai kemenangan untuk membawa suara dan agenda Islam dalam pentadbiran Negeri Melaka secara khusus dan negara kita secara amnya,” ujar beliau.

Tuan Guru Zulkifli yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian semasa menyampaikan taujihat dalam majlis penyerahan manfaat khairat kematian dan penutup Kursus Perunding SKIMPAS kawasan yang berlangsung di Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ), di sini, petang semalam.

Dalam majlis tersebut Zahari Haris, 56, suami kepada mantan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin, Almarhumah Siti Khadijah Shaari, 52, yang meninggal dunia pada Januari lepas akibat komplikasi beberapa penyakit kritikal telah menerima manfaat khairat kematian SKIMPAS.

Zahari ketika ditemui WARM-Berita PAS seusai majlis ini menzahirkan rasa kesyukuran dan mengucapkan jutaan terima kasih atas penyerahan manfaat SKIMPAS bernilai RM10 ribu.

Zahari Haris, 56, waris kepada Almarhumah Siti Khadijah Shaari, 52,

“Skim ini bagus kerana ia dapat membantu sedikit sebanyak pada waris-waris yang telah meninggal dunia dari segi kewangan.

“Dan saya menyeru kepada semua ahli-ahli PAS supaya dapat menyertai skim ini untuk kita sama-sama menjaga kebajikan ahli-ahli kita,” ujar beliau.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pengurus Besar SKIMPAS, Abdul Razak Mohamed dan Pengerusi LKK PAS Negeri Melaka yang juga Bendahari, Mohsin Ibrahim.