Home Berita PAS Melaka

Melaka boleh jadi negeri pertama capai sasaran 20 peratus ahli sertai SKIMPAS

102
SHARE

Oleh IBNU JANIE
FOto ABU ANAS

JASIN, 29 Mac: Sungguhpun Melaka sebuah negeri yang kecil dan keahlian PAS juga secara relatifnya sedikit, namun PAS negeri ini mampu menjadi negeri pertama mencapai sasaran 20 peratus ahli menyertai Skim Perlindungan Ahli PAS (SKIMPAS) sekiranya usaha bersungguh-sungguh dilakukan bagi mencapainya.

Menurut Pengurus Besar SKIMPAS, Abdul Razak Mohamed, bagi Negeri Melaka, sasaran yang ditetapkan ialah seramai minima 4800 orang ahli untuk menyertai skim ini.

“Melaka ini saya diberitahu jumlah ahli lebih kurang 24,000, jadi sasaran untuk Melaka perlu mendaftarkan seramai 4800 ahli (menyertai) SKIMPAS. Jadi saya harap tuan-tuan dan puan-puan dapat menyahut cabaran ini.

“Satu hari nanti insya-Allah, walau pun Melaka negeri yang kecil, ahli yang sedikit tetapi menjadi negeri yang pertama dapat mencapai target 20 peratus ahli menyertai SKIMPAS,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, semenjak Lajnah Kebajikan Dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) mengurus sendiri SKIMPAS ini bermula 1 April tahun lepas sehingga Februari tahun ini, skim ini telah membantu lebih 150 orang ahli PAS yang ditimpa musibah dengan nilai lebih RM1.3 juta.

“Ini satu tanda dan juga bukti bahawa PAS mampu untuk menjaga kebajikan ahli dengan bantuan ahli-ahli sendiri. Iaitu skim khairat, kerjasama, bantu membantu sesama ahli.

“Sebab itu Tuan Guru Presiden PAS begitu berharap agar SKIMPAS ini dapat pergi lebih jauh supaya dapat membantu lebih ramai ahli. Bukan sahaja mereka yang ditimpa musibah kematian, kecacatan kekal atau kemalangan tetapi juga kepada ahli yang ditimpa bencana,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, pada masa ini terdapat 143 orang perunding yang aktif di seluruh negara dengan SKIMPAS Pusat mensasarkan pada tahun ini semua kawasan mempunyai sekurang-kurangnya seorang Perunding SKIMPAS Kawasan (PSK) bagi setiap kawasan.

“Kita ada 197 kawasan di seluruh negara, tetapi setakat hari ini hanya 145 kawasan sahaja yang ada perunding. Ini bermakna ada 52 kawasan lagi yang tidak ada perunding.

“Dengan adanya perunding di setiap kawasan dengan harapan mesej dan juga maklumat tentang produk yang sangat baik ini untuk membantu kebajikan ahli dapat sampai ke seluruh pelosok negara,” ujarnya lagi.

Abdul Razak berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam majlis penyerahan manfaat khairat kematian dan penutup Kursus Perunding SKIMPAS kawasan yang berlangsung di Kompleks PAS Kawasan Jasin (KOMPAJ), di sini, petang semalam.

Turut menyampaikan ucapan ialah Pesuruhjaya PAS Melaka yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Pengerusi LKK PAS Melaka yang juga Bendahari PAS negeri, Mohsin Ibrahim.

Terdahulu seramai 25 orang bakal PSK bagi Negeri Melaka telah mengikuti kursus dan taklimat bagi membolehkan mereka dilantik sebagai perunding yang sah bagi Negeri Melaka yang berlangsung dari jam 2 hingga 5.30 petang hari dan lokasi yang sama.

Perunding SKIMPAS Kawasan baharu bagi Negeri Melaka bergambar kenang-kenangan