Home Berita PAS Kedah

Sijil Bersih Kewangan bukti pentadbiran Kedah bersih

437
SHARE

ALOR SETAR – Pengurusan kewangan yang cekap dan telus amat dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Hal ini dibuktikan melalui penerimaan Sijil Bersih Kewangan daripada Jabatan Audit Negara kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, di Wisma Darul Aman, semalam.

Penyata kewangan kerajaan negeri Kedah terbukti bersih dan saksama selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957, Piawaian Perakaunan Kerajaan Malaysia dan International Public Sector Accounting Standard (Financial Reporting under the Cash Basis of Accounting).

Menurut Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, penyata kewangan tersebut merangkumi Penyata Kedudukan Kewangan pada 31 Disember 2021 Kerajaan Negeri Kedah, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan serta Penyata Akaun Memorandum bagi tahun berakhir Disember 2021.

Jelasnya lagi, pengauditan telah dilaksanakan berdasarkan Akta Audit 1957 dan Piawaian Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (ISSAI).

Tambah Datuk Seri Azman, kerajaan negeri Kedah telah memenuhi tanggungjawab etika lain berdasarkan ISSAI.

“Saya percaya bahawa bukti audit yang diperoleh adalah mencukupi dan bersesuaian untuk dijadikan asas kepada pendapatan.

“Sijil ini disediakan selaras dengan Perkara 106(1) Perlembagaan Persekutuan 1957 dan bukan untuk tujuan lain,” beliau menyatakan demikian dalam sijil ketua audit negara bertarikh 18 Ogos 2022.

Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)