Home Berita PAS Kelantan

Sidang DUN 4/14-21: Titah Perasmian Sultan Kelantan sarat nasihat

92
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 23 Ogos: Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan Ke-14, bagi tahun 2021 bersidang dalam norma baharu, hari ini.

Titah perasmian KDYMM Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V diwakilbacakan oleh Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob dengan memetik surah Al-Baqarah ayat 214 yang mengingatkan tentang ujian dan pertolongan Allah pasti datang asalkan kita bersabar dan berpegang teguh kepada agama-Nya.

Baginda mengingatkan para sidang tentang pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara kita masih dalam keadaan sangat membimbangkan.

“Sejak bermula pada penghujung 2019, hingga kini, lebih satu juta kes telah disahkan positif dan jumlah kematian juga tinggi, dan bertambah setiap hari”, titah baginda.

Baginda mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada petugas barisan hadapan dan takziah kepada seluruh keluarga yang kehilangan mereka yang tersayang.

Seterusnya, baginda berseru kepada rakyat yang terselamat daripada musibah COVID-19 agar bersyukur dan meningkatkan tahap kesabaran, terus istiqamah menghadapi ujian berganda yang sangat hebat ini serta terus mematuhi tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Baginda juga mendoakan semoga Allah segera membebaskan kita daripada fenomena COVID-19 ini.

Pada pengamatan baginda, pemberian suntikan vaksin adalah kaedah yang tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada COVID-19 terus mengancam kehidupan.

Seterusnya baginda menzahirkan kenyataan langkah segera kerajaan membelanjakan RM33.52 juta pada 2020 dan RM18.77 juta pada 2021 bagi membantu rakyat yang terjejas ekonomi akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh wabak pandemik COVID-19 juga sebagai tindakan tepat.

“Sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat”, titah baginda lagi.

Dalam usaha meningkatkan skala ekonomi negeri, baginda bersukacita apabila Kerajaan Negeri menggerakkan aktiviti ke arah mewujudkan perbandaran dan wilayah berdaya saing seperti Pembangunan Kawasan Tok Bali, Bandar Baru Tunjong, Perkampungan Warisan, Agrodesa dan Tanah Tinggi Lojing.

Baginda berharap pihak kerajaan melalui Jawatankuasa Pembangunan Tok Bali dapat memastikan agenda untuk menjadikan Pelabuhan Tok Bali sebagai pelabuhan komersil dapat direalisasikan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan Negeri Kelantan.

Seterusnya, baginda mengumumkan Kerajaan Negeri juga sedang giat membangunkan Bandar Baru Tunjong Berdasarkan Rancangan Khas Bandar Baru Tunjong 2035 yang mengandungi komponen pembangunan Madinah Al-Salam, Madinah Ramadan dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), selaras dengan Pembinaan Stesen ECRL Kota Bharu di Tunjong, terminal terakhir laluan rel tersebut di Pantai Timur.

Di samping itu, inisiatif kerajaan untuk menangani masalah trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan bandar Kota Bharu, melalui pembinaan Jambatan Palekbang bukan sahaja menjadi jambatan penghubung antara jajahan Kota Bharu dan Tumpat, malah jambatan ini perlu mempunyai reka bentuk yang ikonik, menjadi mercu tanda kepada Negeri Kelantan yang dapat menjadi daya tarikan menggamit para pelancong, turut menjadi inti titah Sultan Kelantan.

Selanjutnya, baginda berharap projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, dapat disiapkan seperti yang dijadualkan, pada 2024.
Begitu juga, projek infrastruktur seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) “Central Spine Road” (CSR), Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai.

Termasuklah Zon Industri Akuakultur dan Projek Ladang Solar Terapung di Danau Tok Uban serta Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok Fasa Satu, berjalan lancar.

Pada hemat baginda, kemudahan infrastruktur yang baik dan sempurna akan menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negeri dan akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

“Kawasan Industri Bersepadu Berasaskan Industrialised Building System (IBS) di Machang dan Bandar Perabot di Gua Musang yang dicetuskan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat”, titahnya.

Baginda juga yakin sektor pelancongan negeri akan kembali beransur pulih terutama sekali dengan usaha mewujudkan beberapa tarikan baharu pelancongan seperti Pembangunan Kampung Warisan di Kampung Laut dan Masjid Kampung Laut yang dikembalikan ke tapak asal bakal disenaraikan sebagai salah satu tapak warisan negara.

Di samping itu, baginda juga menekankan aspek kebersihan yang dapat memberikan manfaat kepada negeri dan masyarakat selaras dalam memartabatkan syiar Islam.

Mengakhiri titah ucapan, baginda berseru semua pihak meningkatkan pemahaman dan penghayatan ajaran agama dalam kehidupan harian, bertepatan dengan Dasar Membangun Bersama Islam dan terus bersabar melakukan amalan solat, bacaan Al-Quran, zikir, doa dan munajat.

Sesi sidang boleh ditonton menerusi pautan https://bit.ly/2Wg2Kk2

#LiputanKhasSidangDUNKelantan2021