Home Minda Presiden

Siapa pengganas, siapa penolong?

324
SHARE

Minda Presiden PAS
SIAPA PENGGANAS, SIAPA PENOLONG?


Al-Quran ialah Kitab Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Benar dan sebuah Kitab yang mengandungi ayat-ayat secara berulang kali menceritakan betapa ganasnya puak Yahudi Zionis yang dilaknat oleh Allah SWT sehingga Hari Kiamat. Mereka telah membunuh manusia terbaik yang menjadi pilihan Allah SWT, iaitu para anbiya’, para ulama’ yang soleh dan para pemimpin yang adil.

Pada akhir abad yang lalu, apabila pemimpin utama Yahudi Zionis iaitu Theodor Herzl menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa era moden pada tahun 1897, dia bergerak untuk mempengaruhi para pemimpin negara dengan kekayaan melalui pengaruh ekonomi yang dimilikinya di seluruh dunia.

Kemudian, dia dihalau oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid kerana menawarkan rasuah berjuta-juta pound supaya diserahkan bumi Palestin bagi menubuhkan sebuah negara Yahudi. Dengan tegas dan murka, maka Almarhum Sultan Abdul Hamid menjawab:

“Saya tidak akan mencemarkan sejarah nenek moyang saya yang ditulis dengan tinta emas bagi mempertahankan Islam.”

Zionis langsung tidak mengenang jasa Kerajaan ‘Uthmaniyyah yang menerima puak Yahudi menjadi pendatang dalam wilayah mereka, apabila Yahudi diancam bunuh oleh Kristian yang menguasai Sepanyol selepas kejatuhan kerajaan Islam. Ketika itu, Yahudi diizinkan bermukim dalam wilayah Kerajaan ‘Uthmaniyyah dengan aman selama beberapa abad lamanya.

Zionis kemudiaannya berjaya mempengaruhi politik beberapa buah negara, khususnya kuasa terbesar iaitu Kerajaan British. Sehingga salah seorang daripada ahlinya iaitu Lord Balfour berjaya ke tahap menjadi Menteri Luar dan Perdana Menteri British.

Maka, Zionis telah memeterai Deklarasi Balfour pada tahun 1917 mengambil sempena nama beliau, bagi menyerahkan Palestin kepada kumpulan Yahudi. Seterusnya menubuhkan sebuah negara yang menjadi permulaan kepada Empayar Bani Isra’il yang menjadi kuasa tunggal dunia seperti Nabi Sulaiman AS, walaupun mereka sudah menyeleweng jauh daripada ajaran yang terkandung dalam Kitab Taurat.

Hasil daripada perjanjian tersebut, berduyun-duyun orang Yahudi dari Eropah, Soviet, Amerika, Afrika dan lain-lain datang memasuki bumi Palestin. Bagi melindungi puak Yahudi yang datang untuk membina penempatan baru itu, maka ditubuhkan kumpulan-kumpulan gerakan bawah tanah, khususnya kumpulan bernama Haganah. Antara pemimpin utamanya ialah David Ben-Gurion dan Menachem Begum.

Kebanjiran orang-orang Yahudi yang kaya sehingga bertindak membeli tanah, kebun dan rumah dengan harga yang tinggi telah mendapat tentangan oleh para ulama’, khususnya Mufti Palestin iaitu Almarhum Syeikh Haji Muhammad Amin al-Husaini.

Beliau memberikan fatwa yang mengharamkan penjualan tanah kepada Yahudi kerana beliau dapat mengesan tujuan jahat mereka ke arah menubuhkan sebuah negara Israel. Beliau terpaksa keluar daripada Palestin kerana diburu oleh penjajah British dan Yahudi di mana sahaja beliau berada, sehingga beliau berpindah-randah ke Lubnan, Syria, Iraq, Iran, Turki, Jerman, Mesir dan akhirnya beliau menetap di Lubnan.

Apabila British yang bermain silap mata dengan melindungi gerakan ganas Yahudi, maka Almarhum Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam bergerak melawan penjajah yang melindungi kumpulan pengganas Yahudi dengan dibekalkan kemudahan dari sudut senjata dan undang-undang yang zalim.

Syeikh ‘Izzuddin al-Qassam merupakan seorang ulama’ dari Syria dan juga seorang khatib yang berpengaruh, telah dihalau oleh penjajah Perancis ke Palestin. Kemudian, beliau diburu oleh British dan Zionis, sehingga gugur syahid dalam pertempuran yang membangkitkan semangat anak muda Palestin dan para ulama’ bagi meneruskan jihad.

Para pemimpin gerakan ganas Yahudi disalurkan menjadi tentera, apabila negara Israel ditubuhkan pada tahun 1948 dengan sokongan kuasa besar Berikat ke dalam Perang Dunia Kedua. Selain itu, mereka juga diberikan hak kuasa veto dan menjadi ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Pada masa yang sama, negara kuasa besar telah membantu dengan membekalkan senjata bagi menjaga keamanan Israel tanpa batas, termasuklah senjata-senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa dan piagamnya.

Ketua-ketua pengganas dalam kalangan Yahudi Zionis pula dilantik menjadi Perdana Menteri pengganas seperti David Ben-Gurion dan Menachem Begum. Mereka jugalah yang mengetuai pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Deir Yassin pada tahun 1948 dan banyak lagi peristiwa selepas itu, begitu juga peristiwa Sabra dan Shatila yang berlaku di Lubnan pada tahun 1982.

Apa yang mendukacitakan adalah negara-negara kuasa besar seperti Amerika, Britain dan Perancis menjadi pembekal senjata kepada negara haram Israel, termasuklah senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Negara Perancis adalah pembantu bagi membina loji nuklear di Bi’r al-Sab’ (Beersheba) pada tahun 60-an dan diikuti oleh negara Barat yang lain. Bantuan persenjataan disalurkan kepada negara haram Israel secara bertali arus.

Dari segi politik dan diplomatik, mereka bersikap hipokrit ke arah perdamaian dengan dihasilkan berbagai-bagai resolusi dan solusi. Jika terdapat sebarang usul yang bertujuan menghukum Israel, ia akan dibatalkan dengan kuasa veto yang ada di tangan mereka.

Manakala, negara-negara Arab dan Islam didesak habis-habisan supaya menerima solusi yang dikemukakan oleh negara-negara kuasa besar tersebut. Sekiranya mereka tidak menerima solusi tersebut, maka mereka akan dinamakan sebagai kelompok pelampau atau pengganas.

Peperangan Antara Mei 1948 Hingga Mac 1949

Apabila penjajah British meninggalkan bumi Palestin, lalu tanah suci itu diambil alih oleh kumpulan-kumpulan pelampau Yahudi seperti Haganah, Irgun, Balmakh dan lain-lain, serta orang Yahudi dari seluruh dunia yang dikerahkan dan diberikan kemudahan logistik. Berlakulah peperangan yang melibatkan beberapa buah negara Arab seperti Jordan, Mesir, Iraq, Syria, Arab Saudi dan lain-lain. Akhirnya, kumpulan mujahidin berjaya menawan beberapa kawasan di Tebing Barat (West Bank) dan berusaha mendirikan negara yang dipimpin oleh Mufti Amin al-Husaini.

British kemudiannya bergerak untuk menyerang Jordan, sedangkan PBB pula mengambil langkah mengadakan gencatan senjata dan perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan memberikan tekanan terhadap negara-negara Arab yang masih dipengaruhi kuasa besar yang sentiasa melindungi Israel. Maka, dikemukakan cadangan penyelesaian dua negara (two-state solution), iaitu cadangan agar Israel dan negara Palestin berkongsi bumi Palestin dan Baitul Maqdis pula dijadikan sebagai ibu negara.

Pada tahun 1967, sekali lagi berlaku perang antara Mesir dengan Israel yang dibantu oleh Amerika dan negara-negara sekutunya. Beberapa buah negara Arab yang lain pula bertindak membantu Mesir. Mesir mengalami kekalahan teruk dalam peperangan ini, dan beberapa kawasan di bumi Arab ditawan, termasuklah kota suci Baitul Maqdis.

Gencatan senjata yang diterima oleh Israel dan negara Arab menghasilkan  Resolusi 242 yang diikuti dengan cadangan dua negara (two states solution) dengan dikekalkan Israel, Tebing Barat dan beberapa lagi kawasan dengan Baitul Maqdis Timur menjadi ibu negaranya.

Negara-negara Arab dan Islam ditekan supaya menerima cadangan penyelesaian tersebut. Namun begitu, Israel tetap berdolak-dalik untuk menjadikan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara Israel.

Sebahagian negara ada yang menerima cadangan tersebut dengan melihat dari aspek positif, apabila Palestin diiktiraf sebuah negara berdaulat, boleh menjadi sebahagian daripada anggota PBB dan mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang lain.

Ketika diadakan pilihan raya umum beberapa tahun yang lalu, menyaksikan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) telah berjaya menguasai Tebing Barat. Manakala, gerakan Hamas mengambil keputusan menyertai pilihan raya pada waktu itu, dan Tanzim Jihad serta kumpulan radikal yang lain telah bertindak memulaukannya. Tanpa dijangka, tiba-tiba Hamas memperolehi kemenangan dalam pilihan raya di Gaza.

Lantas Israel dan negara Barat tidak mengiktiraf kemenangan yang diperolehi oleh Hamas kerana gerakan itu disenaraikan sebagai antara kumpulan pelampau. Sebaliknya, kemenangan PLO di Tebing Barat pula diiktiraf dengan memiliki sebuah kerajaan yang tidak merdeka dan tidak berdaulat, bahkan mereka dipaksa membantu Israel bertindak terhadap semua kumpulan yang menjadi ancaman kepada negara haram itu.

Pada  masa yang sama, negara-negara Barat khususnya Amerika, Britain dan Perancis turut membantu penghijrahan orang-orang Yahudi datang ke negara haram Israel. Kemudian, dibina penempatan baru untuk mereka termasuklah merampas tanah, rumah, kebun dan pusat perniagaan milik orang-orang Palestin yang sudah bermukim di situ semenjak nenek moyang lagi.

Kumpulan Yahudi pula diberikan latihan ketenteraan dan dibekalkan dengan senjata serta dilindungi oleh polis dan tentera Israel. Keputusan yang dikeluarkan oleh PBB dan bantahan yang dilakukan di peringkat antarabangsa langsung tidak dihiraukan oleh mereka. Tambahan lagi, Amerika dan sekutu-sekutunya terus menerus membantu Israel khususnya dari segi persenjataan, di samping dari segi hubungan diplomatik.

Israel melaksanakan agenda menyokong Amerika, ketika Donald Trump sepenuhnya mengiktiraf Baitul Maqdis menjadi ibu negara milik mereka.  Tindakan Amerika itu seolah-olah tidak mempedulikan kepada penyelesaian dua negara (two-state solution) yang pernah disokong olehnya dan didesak negara-negara Arab dan Islam untuk turut menyokongnya dahulu. Bahkan, Amerika juga mendesak negara-negara itu melaksanakan normalisasi bagi mengiktiraf negara Israel.

Malaysia telah mengambil suatu langkah yang lebih awal, apabila tidak membenarkan visa Israel diletakkan ke dalam pasport Malaysia, walaupun beberapa negara Islam lain sudah membenarkannya seperti negara Indonesia, Turki dan lain-lain negara.

Israel telah bertindak secara lebih agresif, apabila bertindak menguasai Masjid al-Aqsa melalui pelampau dalam kalangan pendatang Yahudi yang merancang untuk merobohkan masjid yang mulia itu. Mereka berkeinginan untuk menggantikan Masjid al-Aqsa dengan membina kuil besar agama Yahudi.

Justeru itu, mereka bertindak merampas kawasan Syeikh Jarrah dengan menghalau penduduk Palestin secara paksa. Maka, timbullah ketegangan yang semakin memuncak, khususnya apabila berlakunya pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadhan yang mulia. Pencerobohan ke atas sebuah masjid ketiga paling mulia, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Bagi mengalihkan isu pencerobohan yang sudah terbakar, maka Israel bertindak menyerang wilayah Gaza yang kecil. Tindakan itu menyebabkan semua kumpulan Palestin yang selama ini berpecah kembali bersatu, dan berlaku bantahan di seluruh Palestin termasuklah dalam kalangan penduduk Arab yang mendapat kerakyatan dalam kawasan negara haram Israel.

Seterusnya Amerika dan sekutu-sekutunya membuat kenyataan, bahawa tindakan Israel ialah satu perbuatan yang sah kerana melawan para pengganas. Bagi mereka, semua kumpulan Islam adalah kumpulan pengganas. Bukan sahaja Tanzim Jihad yang menolak pilihan raya, termasuklah kumpulan Hamas yang memenangi piihan raya serta semua kumpulan nasionalis dan kumpulan kiri yang bangkit menentang serangan Israel adalah dianggap sebagai kumpulan pengganas.

Begitu juga, mana-mana negara yang membantu Palestin, seperti Republik Islam Iran dianggap sebagai membantu pengganas, ditambah dengan alasan kesesatan ajaran Syiah. Iran telah membuat kenyataan secara terbuka, bahawa mereka membantu Palestin dengan membekalkan senjata dan alat berteknologi tinggi.

Termasuklah juga negara Qatar yang memberikan perlindungan kepada para pemimpin Hamas yang diarahkan untuk bergerak di luar negara, negara itu juga dikira membantu pengganas.

Kini, negara Turki yang membuat kenyataan secara terbuka untuk membantu Palestin, juga dianggap sebagai pengganas dan berbahaya kerana akan menegakkan semula Khilafah ‘Uthmaniyyah.

Adapun Amerika dan sekutunya yang lain pula merupakan negara perdamaian dan paling layak menjadi ketua pendamai. Walhal, mereka itulah yang menjadi pembantu dengan membekalkan senjata yang paling banyak kepada Israel. Alasannya sangat memalukan rakyat mereka sendiri, apabila mengizinkan Israel bertindak sekeras-kerasnya, kononnya kerana ingin mempertahankan kedaulatan negara dan rakyatnya.

Suatu fakta yang perlu diketahui oleh semua ialah penduduk Israel telah diberikan latihan ketenteraan termasuklah dalam kalangan pendatang baru yang sudah dilatih dan diberikan senjata. Khususnya ketika mereka datang ke Israel bagi memaksa, menyerang dan merompak rakyat Palestin yang tidak bersenjata.

Maka, semua kawasan dalam negara haram Israel adalah kawasan tentera yang boleh diserang oleh kumpulan Hamas, Tanzim Jihad dan lain-lain kumpulan. Namun begitu, mereka tetap menumpukan serangan ke atas pangkalan tentera sahaja.

Kini, Israel dalam ketakutan sehingga tidak berani melancarkan serangan darat kerana intifadah yang berlaku bukan lagi dengan menggunakan batu, tetapi dengan menggunakan roket dan dron yang sampai ke semua daerah Israel. Kemungkinan juga kemaraan pasukan pejuang Palestin ke dalam Israel. Maka, peranan Amerika dan sekutunya sangat diperlukan, sama ada Amerika terlibat secara langsung dalam peperangan yang boleh mencetuskan perang dalam bandar dan luar bandar. Perang sebegitu yang pernah mengalahkan Amerika di Vietnam dan terkini di Afghanistan.

Palestin sudah memiliki senjata yang banyak walaupun disekat dari segenap penjuru, apabila semua negara yang menjadi laluan bagi menyalurkan bantuan telah dicetuskan kekacauan seperti Syria, Yaman, Sudan, Mesir dan Lubnan. Kekacauan itu berjaya apabila diperalatkan orang Islam yang bodoh atas nama agama, mazhab, dan kaum.

Para saintis Hamas yang mendapat latihan, khususnya di Iran, Turki dan lain-lain negara Islam, menggunakan bahan yang tidak dijangka, seperti senjata Israel yang ditinggalkan dan menggunakan serpihannya untuk membuat senjata. Bahan yang paling banyak ialah serpihan daripada kapal-kapal sewaktu Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua yang berselerak di laut. Sehingga bahan-bahan tersebut menghasilkan jumlah senjata yang besar dan berteknologi tinggi, serta mampu menyerang seluruh Israel dan bandar-bandarnya serta pangkalan tentera.

Di samping itu, para pejuang di Lubnan gagal dihapuskan dengan usaha politik dari dalam dan luar negaranya. Sehingga hari ini, negara Lubnan gagal menubuhkan kerajaan yang boleh menghapuskan penentangan terhadap Israel, selepas beberapa tahun diadakan pilihan raya. Kelompok Sunni dan Syiah juga gagal dipecahkan semua aliran dalamannya, begitu juga masyarakat Islam dan Kristian juga lebih bersatu kerana keperitan akibat perang saudara yang dicetuskan pada tahun 80-an. Pada waktu itu, Hussein ayah kepada Barack Obama, mantan Presiden Amerika Syarikat telah bertugas dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Lubnan.

Amerika akan terus melakukan usaha diplomatik, tanpa mempedulikan maruah negara dan rakyat dengan cara yang memalukan kerana mereka sudah kembali kepada undang-undang jakun di rimba. Manakala soal keadilan dan hak asasi manusia ditentukan oleh siapa paling kuat dan siapa paling ganas yang menjadi golongan yang benar dan adil.

Media di seluruh dunia digunakan bagi menyebarkan propaganda murahan termasuklah media sosial, yang dilaksanakan oleh tentera upahan dan sukarelawan yang menjual nilai kemanusiaan mereka. Maka, pihak kerajaan, NGO dan rakyat yang berkemampuan wajib bertindak bagi menghadapi serangan ini. Pembohongan yang dilakukan oleh media adalah bertujuan memutarbelit kenyataan sebenar, laksana kata-kata orang Arab:

ضربني وبكى، ظلمني واشتكى.

“Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis dipukul. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi.”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 10 Syawwal 1442 / 22 Mei 2021