Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Seruan Masyarakat Berempati Terhadap Mangsa Covid-19

180
SHARE

 

KENYATAAN MEDIA DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI SARAWAK

8 April 2020 | 14 Syaaban 1441H

1. Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak (DMPNS) mengambil maklum tentang satu kes kluster Covid-19 yang berlaku di Kuching Sarawak. Kes kluster yang mempunyai sejarah perjalanan ke Itali ini telah menyebabkan kes kematian 5 mangsa daripada satu keluarga dan 37 orang lain positif Covid-19.

2. Kini tular di media sosial, penulisan salah seorang ahli keluarga yang terlibat dengan kluster ini. Beliau memohon agar masyarakat mendoakan bapanya yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak beberapa hari lepas. Selain itu, ibunya turut disahkan positif Covid-19 dan kini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak.

3. DMPNS mengucapkan takziah kepada semua mangsa dan ahli keluarga atas ujian yang sedang dilalui. DMPNS berdoa agar kita bersabar dalam menghadapi ujian ini dan diberi kemudahan dalam segala urusan.

4. DMPNS sebagai sebuah entiti yang mewakili suara wanita Sarawak ingin menyeru kepada semua masyarakat di Sarawak khasnya dan di Malaysia umumnya supaya sama-sama melahirkan rasa empati dan bersikap ihsan kepada mangsa Covid-19 ini.

5. DMPNS juga menyeru untuk ahli masyarakat menggunakan media sosial dengan berhikmah dan berakhlak. Sebarang bentuk provokasi dan cercaan hendaklah dielakkan. Jika tiada kata-kata yang baik hendak dituliskan lebih baik berdiam diri.

6. Sebagai masyarakat yang terkenal dengan keperibadian yang tinggi, DMPNS mengajak agar masyarakat saling mendoakan kebaikan khususnya kepada mangsa Covid-19.

7. DMPNS menghormati kebebasan bersuara yang ada di dalam negara kita. Walau bagaimanapun, berpegang kepada prinsip menjunjung keluhuran perlembagaan, peranan masyarakat bukanlah untuk menghukum secara melulu dengan meletakkan kumpulan atau individu tertentu sebagai punca kepada mana-mana kluster Covid-19. Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tindakan selanjutnya sejajar dengan tugas mereka.

8. DMPNS menasihati semua ahli masyarakat agar terus patuh kepada undang-undang negara. Tugas kita untuk setia berada di rumah sehingga habis tempoh Perintah Kawalan Pergerakan agar kita dapat memastikan diri kita tidak terlibat dengan rangkaian kluster Covid-19. Akhirnya, barulah rantaian jangkitan ini dapat diputuskan.

Sekian,
Ustazah Juliani Adin
Ketua
Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak

#StayAtHomeStaySafe
#MalaysiaSejahtera
#KitaMestiMenang