Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Belanjawan 2021: Penghargaan Dan Harapan

472
SHARE

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak (DPPNS) menyambut baik pengumuman peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM 4.5 bilion untuk Sarawak dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan. Peruntukan ini mampu merancakkan lagi penaiktarafan infrastruktur, air, elektrik, jalan raya, kesihatan & pendidikan yang dijangka mampu memberi impak positif pada pembangunan sosioekonomi setempat.

Dalam pada itu juga, DPPNS menyokong penuh perancangan Kerajaan Persekutuan untuk memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak yang selari dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak bagi memudahkan penduduk luar bandar.

Satu yang menarik dalam perhatian DPPNS adalah peruntukan sebanyak RM 41 juta untuk pengukuran & penandaan tanah Hak Adat Bumiputera (Native Customary Rights) di Sabah & Sarawak.

Kami juga memuji iltizam kerajaan dalam penerusan projek Lebuhraya Pan Borneo dan pembangunan Kawasan Perindustrian Samalaju.

Tidak dilupakan juga terima kasih atas sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Negeri Sarawak atas inisiatif bas awam yang menggunakan sel bahan api hidrogen yang setakat ini sudah ada di Kuching. Kami berbesar hati untuk melihat inisiatif sama dicetak ke bandar-bandar besar lain di Sarawak.

Segala suntikan & galakan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan ini dapat membantu Kerajaan Negeri Sarawak mendepani cabaran ekonomi yang getir pada saat ini.

Teguh Kita, Menang Bersama.
Memimpin Negara.

Syamsul Bahrie Hj Mohamad
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak.