Home Khas

Selangor Tidak Proaktif Tangani Pencemaran

391
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Selangor Tidak Proaktif Tangani Pencemaran

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempersoalkan ketegasan dan kesegeraan Kerajaan Negeri Selangor untuk bertindak menangani perbuatan mencemarkan alam sekitar hingga mengundang kesan buruk.

Kelewatan tindakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani pembuangan sisa berat oleh pihak disyaki menyebabkan sungai sebagai sumber air dicemari dengan teruk. Sedangkan kejadian seumpama telah berlaku sebelum ini, selain melibatkan kompoun dikeluarkan, juga di lokasi sama di mana pernah juga terdapat syarikat di situ melakukan perbuatan seumpama dan menghadapi tindakan mahkamah.

Berulang-ulangnya tragedi ini dan tindakan yang dilihat berbeza oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor dalam menanganinya seperti menunjukkan adanya layanan berbeza atau ‘double-standard’ dalam penguatkuasaan. Inikah ‘rule of law’ yang dilaung-laungkan pemerintahan Pakatan Harapan?

Sehingga sekurang-kurangnya pada Rabu ini, lebih 5 juta penduduk dari lebih 1.2 juta kediaman dan premis perniagaan terjejas bekalan air bersih akibat perkara ini. Direkodkan dari pemerhatian pihak Universiti Putra Malaysia, sebanyak sembilan kali gangguan seumpama berlaku tahun lepas, 2019 di Lembah Klang. Ia tentunya menimbulkan trauma terburuk bagi penduduk yang mempunyai rutin tersibuk di Malaysia di negeri berstatus maju ini.

Malah, perbuatan mencemar sungai yang terbabit juga telah berkali-kali menjejaskan beberapa loji rawatan air (LRA) di mana tentu sekali meningkatkan penyelenggaraan dan berisiko menyebabkan kerosakan peralatan atau sistem berkenaan. Ini akan membesarkan lagi peruntukan kewangan yang sepatutnya dapat dijiimatkan untuk manfaat lain.

Sehubungan itu, PAS berpandangan langkah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu ini amatlah dialu-alukan. Juga diharap diperluas juga siasatan ke atas pihak pentadbiran dan penguatkuasaan Kerajaan Negeri Selangor yang sehingga kini dilihat perlahan bertindak ke atas premis disyaki terlibat dalam pencemaran itu.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

Idris Bin Ahmad
Naib Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
8 September 2020 | 20 Muharram 1442