Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke-58 buat seluruh Keluarga Malaysia.

45
SHARE

Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke-58 buat seluruh Keluarga Malaysia.

Bagaimana tertubuhnya Malaysia?

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra telah menggagaskan tentang keperluan mengadakan kerjasama politik dan ekonomi antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak. Kerjasama ini diadakan untuk menyekat pengaruh komunis yang menggugat kestabilan politik serantau di samping meningkatkan kemajuan ekonomi. Akhirnya setelah menjalani beberapa proses rundingan yang melibatkan seluruh penduduk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Brunei akhirnya Malaysia berjaya ditubuhkan dan telah diisytiharkan pada 16 September 1963.

Apa yang menarik pada sambutan Hari Malaysia tahun ini, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah memperkenalkan gagasan Keluarga Malaysia. Konsep ini membawa satu perspektif baharu dalam pentadbiran negara yang mengutamakan kebajikan rakyat dalam usaha menentang COVID-19. Antara usaha-usaha yang dilakukan untuk merealisasikan gagasan ini adalah dengan mewujudkan kestabilan politik antara kerajaan dan pembangkang.

Pada 13 September 2021, termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara pihak kerajaan dan pembangkang yang bertujuan untuk mewujudkan kestabilan politik dan menambah baik situasi ekonomi negara. Kita menyaksikan sejarah kembali berulang dan matlamat akhirnya adalah untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Semoga keamanan dan keharmonian yang kita kecapi pada hari ini hasil daripada usaha generasi terdahulu dapat dikekalkan dan berterusan sehingga ke generasi akan datang.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
16 September 2021 | 9 Safar 1443H