Home Berita PAS Kedah

Sekretariat pastikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 secara hibrid berjalan lancar

184
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 7 NOV– Peranan sekretariat Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 sacara hibrid amat penting bagi memastikan perjalanan program ini berjalan lancar.

Ketua Sekretariat, Ustaz Mohd Rosli Azmi berkata ini adalah kali kedua Muktamar tahunan PAS diadakan secara hibrid kerana mematuhi SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara(MKN) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Perjalanan Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 bagi zon Negeri Kedah dilangsungkan selama dua hari di Jerai Hotel Sungai Petani, sepanjang program berlangsung komitmen penuh diberikan dengan kehadiran semua perwakilan PAS kawasan-kawasan,”katanya.

Namun jelasnya masih terdapat beberapa masalah teknikal seperti terputus talian dengan venue utama Muktamar di Kuala Terengganu tetapi para perwakilan tetap dapat menumpukan perhatian menurut agenda-agenda yang ditetapkan.

“Terdapat beberapa unit yang diwujudkan bagi melancarkan perjalanan program iaitu unit e-Voting, Unit IT Siaran langsung dua hala dan Unit Keselamatan bagi memastikan hanya mereka yang berkenaan sahaja dibenarkan hadir,”ujarnya.

Menyentuh mengenai pemilihan secara e-Voting, Mohd Rosli yang juga Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah memaklumkan seramai 87 orang perwakilan berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2021-2023.

“Selaku Ketua Sekretarat, saya mengambil kesempatan merakamkan penghargaan kepada semua kru Muktamar Tahunan PAS ke-67 bagi Zon Kedah yang telah berkampung selama dua hari bagi menyempurnakan perjalanan Muktamar serta pihak pengurusan Jerai Hotel Sungai Petani yang menyediakan venue program yang serba selesa,”katanya.