Home Berita PAS Wilayah

Wacanakan pendidikan politik Islam dalam laras bahasa semasa

39
SHARE

Wacanakan pendidikan politik Islam dalam laras bahasa semasa

Oleh DHIYA’ MUTTMAINNAH

BATU, 7 Nov: “Pendidikan politik Islam perlu diwacanakan dalam laras bahasa semasa dengan menekankan lima konteks utama iaitu kefahaman, kesedaran, pelaksanaan, pembinaan idealisme dan pemantauan.”

Demikian tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Farkhan Md Zain ketika mengulas ucapan dasar Tuan Guru Presiden PAS berkaitan pendidikan politik anak muda ke arah pelaksanaan undi 18.

“Dari konteks kefahamannya, kita perlu menghayati bahawa kekayaan silibus politik Islam sedia ada sudah mencakupi kehendak fitrah masyarakat bandar selari dengan kejayaan pembinaan Madinah dengan kontrak sosial yang dibina melalui Piagam Madinah.

“Maka untuk menyedarkan masyarakat akan perlunya kefahaman sebegini, integrasi silibus pendidikan kenegaraan sedia ada dalam pendidikan kebangsaan memerlukan sentuhan elemen holistik berteraskan kesempurnaan Islam (Syumuliah) termasuk tentang kepentingan partisipasi mereka yang akan mempengaruhi polisi negara kelak,” ujar beliau.

Dari sudut pelaksanaan pula, beliau berpandangan bahawa pendekatan harmoni menerusi ruang perkongsian bersama warga belia kota perlu diperluaskan.

“Generasi millenial semasa cenderung untuk mencari inspirasi daripada cetusan dan idea yang memberikan manfaat kepada masa depan mereka.

“Selaras dengan kajian berkaitan generasi zaman ini, anak muda lebih cenderung dengan pengaruh “influencer” yang dilihat cuba memperjuangkan hak mereka walaupun ianya sekadar retorik dalam arus media”, jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar pembinaan idealisme anak muda melalui gagasan membangun negara seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) lebih banyak diketengahkan berbanding elemen kepartian semata-mata.

“Kajian banyak menunjukkan trend penolakan anak muda terhadap politik dalam dan luar negara adalah berpunca daripada trauma mereka kepada politikus yang banyak “memperjuang” nasib diri mereka sendiri berbanding apa yang dicanang ketika kempen pilihanraya berlangsung.

“Kita sewajarnya rasional dan realistik dalam sesuatu gagasan kerana idea yang retorik hanya akan menghasilkan dendam dan menghilangkan kepercayaan apabila gagal melaksanakan ketika berada dalam tampuk pemerintahan,” katanya.

Menurut beliau lagi, pemusatan gerak kerja dan jalinan kerjasama dengan “third force” juga perlu diselaraskan dalam isu pendidikan politik ini agar pertembungan yang merugikan dapat dielakkan.

“Hala tuju akhir dalam pendekatan anak muda ini bukan diukur menerusi undian pilihanraya semata, sebaliknya kefahaman Islam dan kesedaran dalam memikul tanggungjawab membina negara sebenarnya yang perlu dititikberatkan,” tegasnya.