Home Berita PAS Perak

Perwakilan Perak puas hati, gembira muktamar berjalan lancar

79
SHARE

Oleh: JAUDIN M AMIN

BUKIT GANTANG: Rata-rata perwakilan PAS negeri Perak berpuas hati dengan kelancaran Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung secara hibrid.

Muktamar yang berlansung selama dua hari di Duyong Marina, Pulau Duyong, Kuala Terengganu disiarkan secara langsung di Dewan Tuan Guru Abdul Samad Noh, Pusat Tarbiah PAS Negeri, Air Kuning dekat sini.

Perwakilan dari Pasir Salak, Jamaludin Yahya, 60, ketika ditemui berkata, beliau gembira dengan kelancaran Muktamar tahun ini dan selesa dengan pematuhan perwakilan-perwakilan yang hadir.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Salak itu menambah walaupun kadang-kadang berlaku gangguan teknikal, namun secara keseluruhannya berjalan baik.

“Apa yang penting, kita dapat melaksanakan arahan dan saranan pimpinan PAS sepanjang muktamar kali ini khususnya intipati-intipati penting dalam Ucapan Dasar Presiden PAS.”, ujarnya.

Bagi perwakilan PAS Kawasan Larut, Norfaiza Jusoh, 52, walaupun gembira dapat mengikuti muktamar secara hibrid, namun tetap berharap dapat hadir bersemuka pada tahun hadapan.

“Alhamdulillah, saya berasa selesa dan urusetia muktamar peringkat negeri berjaya menyediakan kemudahan multimedia yang memuaskan,” katanya.

Timbalan Ketua Muslimat Kawasan Larut itu menambah, proses pengundian secara atas talian turut berjalan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Mohd Iqbal Samadi, 44, yang mewakili PAS Kawasan Gopeng ketika diremui turut berpuas hati khususnya proses pemilihan parti yang dikendalikan oleh Lajnah IT dan Data negeri pada tahun ini.

Penolong Setiausaha II PAS Kawasan Gopeng itu berkata walaupun mengikuti muktamar secara hibrid, namun apa yang penting mesej-mesej penting yang ditekankan oleh pimpinan parti khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke-15 tidak lama lagi.

“Walaupun iklim politik tidak menentu, PAS Kawasan Gopeng (khususnya) tetap meneruskan program seperti biasa, (termasuk) program bersama dengan parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional dan memberikan tumpuan menghadapi PRU-15”, tambahnya.