Home Artikel PAS Melaka

“Saya nak jadi doktor pakar tulang” – Shakirah

294
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 3 Mac : “Cita-cita saya nak jadi doktor pakar tulang,” antara yang disebutkan adik Shakirah Mohd Hairul Osman, 16, ketika ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di rumahnya di Taman Lendu Bakti, di sini, sebentar tadi.

Shakirah yang merupakan salah seorang penerima tablet Samsung sumbangan Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin melahirkan rasa syukur atas pemberian ini.

“Syukur alhamdulillah, seronok sangat, daripada tak ada, dapat guna, dapat kemudahan. Rezeki. Sebelum ni guna handphone mak, gilir-gilir dengan adik-beradik. Adik-beradik saya empat orang bersekolah. Kongsi-kongsi guna untuk PdPR.

“Terima kasih banyak-banyak kepada YB Mas Ermieyati. Saya akan guna sebaik yang mungkin. Insya-Allah saya akan belajar betul-betul, sehingga dapat jadi doktor,” ujar Shakirah gembira.

Shakirah Mohd Hairul Osman (kiri) bersama ibunya

Ibu kepada Shakirah, Nor Azilawati Adam, yang merupakan seorang pekerja pembersihan di UiTM Lendu turut menzahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diterima ini.

“Dapatlah anak saya buat kerja sekolah semua. Kalau tidak jadi berebut-rebutlah. Masa saya bekerja, handphone ada satu saja, nak share-share dengan anak-anak yang lain.

“Sebelum ni bila saya balik kerja barulah mereka dapat mereka buat kerja sekolah. Cikgu bagi Whatsapps, saya balik kerja tengah hari macam ni baru mereka dapat guna,” luah Azilawati.

Shakirah juga adalah merupakan bekas anak didik kepada Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som semasa beliau menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Lendu satu masa dahulu.

Sementara itu Pengerusi Taman Lendu Bakti, Zainal Abidin yang turut hadir di rumah Shakirah semasa penyerahan itu tengah hari tadi memuji langkah yang diambil oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah yang memberi sumbangan tablet untuk kegunaan anak-anak bersekolah.

Pengerusi Taman Lendu Bakti, Zainal Abidin (kanan)

“Bantuan ini sangat bagus. Sumbangan tablet kepada penduduk taman ini. Saya ucapkan terima kasih pada Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Mas Ermieyati.

“Alhamdulillah setakat ini di Taman Lendu Bakti ini tidak ramai yang terjejas pendapatan seperti hilang pekerjaan akibat Covid-19 ini. Namun ada juga yang terjejas.

“Sebahagian mereka memang berpendapatan rendah dan bantuan-bantuan begini dapat meringankan beban mereka,” ujar beliau.

Beliau juga berharap agar lebih banyak lagi bantuan dapat diberikan kepada penduduk-penduduk yang kurang berkemampuan di taman perumahan ini.

Sumbangan ini telah diserahkan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman mewakili Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.

Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamaruddin Ahmad dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som.