Home Artikel PAS Melaka

Keperihatinan YB Mas Ermieyati sangat dihargai – Ustaz Imran

313
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 3 Mac : Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman menzahirkan ucapan terima kasih atas keperihatinan Ahli Parlimen Masjid Tanah, YB Datuk Wira Mas Ermieyati terhadap hal berkaitan pendidikan anak-anak Masjid Tanah.

Beliau berkata demikian kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM) semasa menyampaikan bantuan tablet Samsung sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Masjid Tanah untuk anak-anak B40 dalam parlimen ini.

“Saya nampak YB Mas ni kalau berkaitan soal pendidikan memang dia sangat ambil berat. Tablet ni untuk kegunaan anak-anak kita belajar.

“Apa yang difahamkan asalnya hanya 100 buah tablet dapat disediakan. Tapi kerana banyak permintaan beliau tambah 200 unit lagi demi untuk anak-anak Masjid Tanah nak belajar,” kata beliau.

Ustaz Imran yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya-2 PAS Melaka itu menambah lagi, semasa berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini pelajar-pelajar sekolah terpaksa melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ini memerlukan peralatan seperti tablet ini. Namun bukan semua orang mampu beli. Ramai yang ibu bapa daripada kumpulan B40 yang terpaksa berkongsi smartphone untuk anak-anak mereka melalui PdPR. Sudah tentu ini menyukarkan.

“Jadi sumbangan ini meringankan beban ibu bapa dalam memberikan keselesaan kepada anak-anak mereka untuk belajar,” ujar beliau lagi.

Menurut Ustaz Imran lagi walau pun pelajar-pelajar sudah pun boleh mengikuti kelas bersemuka seperti biasa namun peranti ini tetap berfaedah untuk pelajar-pelajar dalam melalui proses pembelajaran pada masa sekarang.

“Jangan kata membazir atau dah tak penting lagi untuk kita beri tablet ini, sebab tablet ini adalah alat yang sangat membantu pelajar dalam pembelajaran di zaman kemajuan internet dan multimedia ini.

“Mereka boleh guna untuk cari bahan pembelajaran mereka dengan tablet ini. Jadi ini akan dapat membantu mereka menguasai pelajaran mereka walau pun sudah tiada PdPR,” ujar beliau lagi.

Beliau juga sangat berharap agar semua penerima sumbangan ini dapat menggunakan tablet ini dengan cara yang betul dan untuk tujuan yang betul.

“Tablet dan internet ini ada buruk dan ada baiknya. Ia umpama pisau, jika dapat kepada pembunuh ia akan digunakan untuk melakukan jenayah untuk membunuh orang. Jika pisau dapat pada tukang masak ia akan digunakan untuk menyediakan makanan yang boleh mengenyangkan orang.

“Jadi saya harap semua anak-anak yang menerima sumbangan tablet daripada YB Mas Ermieyati ni gunakanlah dengan sebaiknya untuk belajar. Bukan untuk bermain atau melayari laman web yang tidak sepatutnya,” ujar beliau lagi.

Sebanyak 10 buah tablet sumbangan Ahli Parlimen Masjid Tanah telah diperuntukan untuk diedarkan oleh PAS Kawasan Masjid Tanah kepada anak-anak golongan B40 sekitar kawasan parlimen ini.

Tablet ini dihantar sendiri Ustaz Imran ke rumah-rumah penerima sekitar Masjid Tanah dengan ditemani oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Cikgu Arshad Md Som, Ketua Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Abu Naufal Samsudin dan Setiausaha PAS Kawasan Masjid Tanah, Jamaruddin Ahmad.