Salam Nuzul Quran
“Bulan Ramadan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah…….” [ Q:S. Al-Baqarah : 185 ]
Al-Quran merupakan mukjizat agung yang diturunkan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w buat umat sebagai panduan dan pedoman hidup kerana ia mengandungi petunjuk, keterangan dan penjelasan tentang yang benar dan salah.
Oleh itu, umat Islam seluruh dunia sudah menjadi kebiasaan akan beriltizam untuk membaca Al-Quran pada bulan Ramadan yang sinonim dengan bulan Al-Quran. Namun persoalannya, sejauhmana ayat-ayat Al-Quran yang kita baca tersebut meresap dalam seluruh jiwa kita sehingga menjadi pegangan untuk kita hidup di dunia sebelum bertemu Pencipta kita nanti?
Kami Muslimat PAS menyeru seluruh umat Islam terutamanya walau di mana kalian berada, agar sama-sama menghayati setiap bait yang kita lafazkan setiap hari. Selain membaca Al-Quran, kita semua mesti menyemak dan meneliti maksud setiap ayat agar ianya mudah tersemat di hati.
Jika dikira, sudah pasti ramai yang berkali-kali khatam Al-Quran tetapi bagaimana Al-Quran itu hidup dalam diri masing-masing atau sekadar ianya bagai debu yang berterbangan, tidak langsung memberi kesan dalam jiwa dan sanubari.
Kami juga ingin memohon kepada mereka yang mungkin merasakan diri tidak pandai membaca Al-Quran agar berusaha untuk mempelajarinya selagi mana Allah S.W.T kurniakan usia dan kesempatan masa kepada kita. Dalam sebuah hadits ada menyebut,
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kalian adalah mereka yang belajar Al-Qur’an dan mengajarkannya.” [ HR Bukhari ]
Justeru buanglah rasa malu dan malas kalian untuk pergi belajar Al-Quran iaitu belajar membaca dan memahami ayatnya.
Sentiasa pasakkan dalam diri, Al-Quran bukan hanya perhiasan di rumah, bukan juga hanya meniti di bibir tetapi ianya mesti difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.
Semoga kita semua sentiasa hampir dengan Al-Quran kerana ia akan menjadi peneman kita semasa di alam barzakh nanti.
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua,
Dewan Muslimat PAS Malaysia
17 Ramadan 1439 H
1 Jun 2018