Home Berita PAS Kelantan

RM700 juta projek telekomunikasi di Kelantan

21
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
MACHANG, 27 Jun: Kelantan menerima peruntukan RM700 juta bagi pembinaan menara komunikasi jaringan fiber optik dan lain-lain di bawah projek Jaringan Digital Negara (JENDELA) untuk tempoh dua tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Negeri Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, apabila negara berhadapan dengan pandemik COVID-9, jaringan internet berkelajuan tinggi menjadi satu keperluan mendesak terutamanya dalam pembelajaran (PdPR).
“Jangkamasa dua tahun sudah menjadi satu tempoh yang terlalu panjang. Kita akan berusaha mempercepatkan proses menyiapkan projek ini.
Apabila projek JENDELA ini siap, kita dimaklumkan oleh pihak TELCO, hampir 97 peratus dari penduduk Kelantan akan dapat menikmati jaringan perkhidmatan internet yang lebih baik. Kerajaan juga akan membina lebih banyak Pusat Internet Komuniti (PIK)”, katanya selepas mengiringi YB Dato’ Seri Mustapha Mohamad mendengar taklimat pembinaan dan pengoperasian menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebik, Mata Ayer, Pulai Chondong, semalam.
Lawatan ke projek seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tersebut turut dihadiri Ahli Parlimen Machang, YB Dato’ Jazlan Yaakob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, YB Ustaz Azhar Salleh.