KOTA BHARU, 22 September: Pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan telah meluluskan peruntukan RM300 ribu untuk tahun 2022 bagi membangunkan industri tenusu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata penganjuran kursus tenusu ini adalah sebahagian daripada perancangan JPVNK dalam membangunkan lagi industri tenusu di negeri ini.
“Semoga dengan adanya kursus sebegini, ia dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada pemain industri tenusu,” katanya semasa merasmikan Kursus Asas Penternakan dan Pemakanan Ternakan Tenusu di hotel Grand River Review, semalam.
Selain penganjuran latihan dan kursus kepada penternak, melalui peruntukan RM300 ribu ini juga JPVNK telah merancang untuk membeli 50 ekor induk kambing susu dan 10 ekor pejantan kambing susu untuk diagihkan kepada penternak terpilih serta membeli makanan tambahan, ubatan, vitamin, mineral dan hormon pembiakan.
Selain itu, peruntukan ini juga akan digunakan untuk membekal sperma untuk pembiakan lembu tenusu dan kambing tenusu serta renovasi kandang-kandang di ladang tenusu.
Beliau berharap segala bantuan daripada Kerajaan Negeri dapat membangunkan lagi industri tenusu di negeri Kelantan.
Kursus tersebut disertai 80 peserta terdiri daripada penternak lembu tenusu dan kambing tenusu seluruh Kelantan serta turut melibatkan kakitangan JPVNK.
Majlis perasmian turut dihadiri Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Dr Syarifah Asiah Mohd Amin.