Home Berita PAS Pulau Pinang

PAS negeri sokong kaji semula sejarah Pulau Pinang

59
SHARE

Oleh NAZRI ABD HAMID

PULAU PINANG, 26 SEPTEMBER – PAS negeri menyokong supaya sejarah Pulau Pinang dikaji semula.

Ia berikutan penulisan sejarah pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light telah menyimpang daripada sumber yang sebenar.

Itulah hasil pertemuan pimpinan PAS negeri yang diketuai oleh Timbalan Perusuhjaya 2 PAS negeri, Norazman Ishak dengan Pengarah Pusat Penyelidik Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, baru-baru ini.

Menurut Norazman, PAS Pulau Pinang menyokong kenyataan Dr Azeem Fazwan mengenai sejarah pembukaan awal negeri ini.

“Menurut sejarah awal, ia dibuka oleh bangsawan oleh Datuk Jenaton Labu dari Pagar Ruyung Sumatera yang telah mendirikan Masjid Batu Uban yang telah menjadi mercu tanda negeri Pulau Pinang.

“Namun ianya telah diubah kepada Tanjung, dengan itu ianya perlu dikaji semula untuk membentuk jati diri orang Melayu yang sekarang ini telah dipinggirkan dalam pembangunan di Pulau Pinang ini,” katanya semasa ditemui pada Seminar Kewartawanan di Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum, dekat sini, hari ini. Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim turut hadir pada seminar separuh hari anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri.

Tambahnya, kerajaan negeri sekarang hanya menumpukan pembangunan mewah di daerah barat daya yang menyebabkan ramai orang Melayu terpaksa berpindah kerana tidak mampu membeli hartanah di kawasan itu.

“Salah satu kaedah yang boleh dilakukan ialah untuk kita menggazetkan kampung warisan.

“Dengan adanya kampung warisan tersebut membolehkan orang Melayu yang tinggal di kawasan tersebut dapat meneruskan kehidupan dan terpelihara,” katanya lagi.