Home Berita PAS Kelantan

Renggo Arrow, Iwan Syahman meriahkan Pentas Rakyat Kuala Krai

55
SHARE

KUALA KRAI, 10 September: Pentas Rakyat yang bertemakan Kelantan Maju, Rakyat Sejahtera adalah kesinambungan motto Kerajaan Negeri Kelantan iaitu “Merakyatkan Membangun Bersama Islam” berfungsi sebagai platform tepat untuk memperjelaskan pemahaman seluruh rakyat bahawa Islam adalah agama yang syumul, fleksibel dan tidak jumud. Khususnya dalam hal-ehwal bersangkut-paut dengan seni dan hiburan sebagaimana yang dibenarkan dalam Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan 1998.

Rakyat Kelantan boleh berhibur tetapi mesti mengikut garis panduan syarak antaranya waktu solat wajib dipatuhi, pergaulan dengan ajnabi dan aurat mesti dikawal rapi agar tidak melampau batas.

Malam tadi sekitar 3,000 hadirin telah membanjiri Pentas Rakyat Siri 1 peringkat Parlimen Kuala Krai di Kompleks Sukan Dabong anjuran Urus Setia Penerangan Dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN).

Program didik hibur tersebut menampilkan artis yang boleh dijadikan ‘rool model’ oleh rakyat antaranya Iwan Syahman, Renggo Arrow, Fadil Turbo, Bob Kalo Jeking dan Joe Arjuna bersama kumpulan pendikir Sirat Maharaja.

Berucap semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengarah UPKN, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata, UPKN menganjurkan program sebegini adalah dengan harapan masyarakat setempat dapat berhubung rapat dengan kerajaan melalui agensi-agensi yang terlibat yang membuka pusat khidmat di gerai pameran bermula petang semalam.

“Pada masa yang sama program ini juga sebagai medium penjelasan salah faham masyarakat terhadap hiburan dalam Islam kerana Kerajaan Islam Kelantan tidak menyekat hiburan tetapi mengariskan panduan-panduan yang wajib dipatuhi,” hurainya.

Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Ustaz Abdul Latiff Abd Rahman turut memberi ucapan perasmian berkata, Parlimen Kuala Krai sudah menjadi lokasi pelancongan tumpuan, oleh itu masyarakat setempat khususnya Dabong, hendaklah sentiasa menjaga kebersihan dan menjadi duta-duta kerajaan negeri memberi mesej yang positif kepada pelancong luar yang datang.

“Perlu kerjasama yang baik oleh semua pihak kerana ada program sebegini (Pentas Rakyat) sebab ada kerajaan, tiada kerajaan, tiadalah program sebegini (hiburan ikut panduan syarak), oleh itu saya yakin adik-kakak di Dabong ini tidak teragak-agak lagi untuk sama-sama pertahankan Kerajaan Islam Kelantan dibawah dasar Membangun Bersama Islam,” ujarnya.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, YB Ustaz Ku Mohd Zaki Ku Husin, ADUN Guchil YB Hilmi Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong.

Antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang terlibat membuka kaunter khidmat pelangan pula ialah UPKN, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, KWSP, AADK, Jabatan Akautan Negara, IPTG, UKEKWA, PKINK dan juga IKS di bawah bimbingan PKD Dabong.