Home Berita PAS Perlis

HAMAS 5.0 berlangsung meriah

111
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

ARAU, 13 Sept: Program Himpunan Anak Muda Perlis Kali ke-5 (HAMAS 5.0) yang berlangsung baru-baru ini meriah dengan kehadiran lebih 2,000 anak muda di Kompleks Pendidikan Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), di sini.

Program bermula dengan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Pendakwah Bebas terkenal, Ustaz Muhammad Shah Shanmugam,  dan diikuti dengan Munajat Perdana dipimpin oleh Ketua Dewan Ulama PAS Padang Besar, Ustaz Muhammad Rohim, Kamis.

Turut diadakan, pelbagai aktiviti untuk segenap lapisan masyarakat antaranya Bola Sepak Bawah 12 Tahun, Bola Jaring, Sepak Bola Penalti, Pertandingan Mewarna serta Program Let’s Glow with Ameerah khusus buat kaum wanita.

Tinjauan di lokasi program mendapati, hampir setiap acara mendapat sambutan yang amat mengalakkan khususnya acara berbentuk pertandingan seperti bola sepak, bola jaring dan pertandingan mewarna.

Kemuncak HAMAS 5.0 adalah acara Konvoi Mahabbah HAMAS 5.0 iaitu konvoi bermotosikal anak muda ke beberapa buah lokasi di negeri ini yang berakhir di Kompleks Pendidikan MADI bagi mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin.

Melabuhkan tirai HAMAS 5.0 ialah program ‘Pentas Anak Muda Bangkit’ yang membariskan empat orang tokoh iaitu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nazir Helmi, Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

Dalam pada itu, pengarah HAMAS 5.0, Dr. Abu Harith, ketika ditemui merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada seluruh Jentera Pemuda PAS Perlis atas kesungguhan menjayakan program HAMAS 5.0 pada edisi kali ini.

“Perkara yang perlu kami (Dewan Pemuda PAS Perlis) berikan perhatian adalah formula terbaik untuk dekati anak muda.

“PAS ialah parti dakwah bukan sekadar menghidangkan apa yang kami sukai, tetapi kami berusaha untuk memahami selera sasaran dakwah dengan mengambil kesempatan di setiap sudut ruang dakwah yang ada,” katanya.