Home Berita PAS Melaka

Rencana | Titik pulang modal – garis pemisah untung rugi perniagaan

3716
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

ADA satu terma dalam perakaunan yang dipanggil sebagai Titik Pulang Modal atau pun TPM. TPM ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk difahami oleh seseorang usahawan dalam memantau operasi perniagaannya samada berada di landasan yang betul atau sedang terbabas ke jurang kerugian.

Sebagai contoh, sesebuah syarikat bas ekspres sebenarnya sudah tahu adakah satu-satu trip perjalanan basnya itu menguntungkan atau tidak dengan menggunakan konsep TPM ini.

Katalah satu trip perjalanan bas ekspress dari Bandar A ke Bandar B, jumlah kos operasi sekali perjalanan ialah RM400. Kos ini ialah petrol, tol, cukai jalan, penyelenggaraan dan gaji pemandu untuk tempoh perjalanan itu.

Dalam kata lain kos ini tetap akan terlibat apabila mereka melakukan sesuatu trip perjalanan tidak kira berapa orang pelanggan pun yang membeli tiket.

(Imej 1 : Jadual A – Titik pulang modal Bas ekspress)

Dari Jadual A yang disertakan itu, andaikan harga tiket untuk seorang pelanggan ialah RM20 dan ada 36 kerusi di dalam bas tersebut.

Ini bermakna syarikat bas ini kena memastikan sekurang-kurangnya ada 20 orang menaiki bas pada perjalanan tersebut. Jadi kutipan yang diperolehi dari tiket betul-betul mencukupi untuk menampung kos perjalanan tersebut sebanyak RM400 (RM20 x 20 orang).

Ini bermakna pengusaha bas ekspress itu sudah tahu, dalam satu-satu perjalanan, jika ada 20 orang membeli tiket, maka perjalanan itu hanya pulang modal, iaitu hanya dapat menampung kos, tidak untung dan tidak rugi.

Tetapi jika ada 21 orang yang membeli tiket pula maka perjalanan itu memberi keuntungan padanya kerana melebihi daripada 20 tiket untuk pulang modal.

Dalam kata lain untuk 21 tiket yang telah terjual itu, 20 tiket adalah untuk menampung kos dan satu tiket lagi yang bernilai RM20 adalah keuntungan kepada pengusaha bas ini. Jualan tiket yang ke-21 hingga ke 36 adalah keuntungan pada syarikat.

Dan sekiranya ada 15 orang sahaja yang membeli tiket pula maka perjalanan itu memberi kerugian padanya kerana jumlah jualan tiket tidak mampu menampung keseluruhan kos operasi.

Kaedah pengiraan TPM seperti ini juga sesuai untuk perniagaan seperti pesawat penerbangan awam, homestay, kafe siber, kedai gunting rambut.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Itu bagi perniagaan yang bersifat perkhidmatan yang tidak melibatkan kos membeli stok jualan. Namun bagi perniagaan peruncitan yang melibatkan jual beli barangan nampak maka ia ada pengiraan lain.

Untuk mengira TPM untuk perniagaan melibatkan produk kita harus kenalpasti dua perkara iaitu :

1) Margin untung kasar
2) Kos Operasi

Untung kasar adalah beza antara harga kos atau harga borong produk jualan yang kita beli daripada pembekal dengan harga jualannya.

Contohnya seorang penjual tuala mandi membeli stok jualan tuala mandinya daripada pembekal ialah dengan harga RM7 sehelai dan dia menjualnya kepada pelanggannya pada harga RM10 sehelai. Ini bermakna untung kasarnya ialah RM3 atau pun 30 peratus daripada harga jualan. Atau dalam kata lain margin untung kasarnya ialah 30 peratus.

Jadi, dalam mengenalpasti margin untung kasar kita hanya membezakan antara harga jualan sesuatu produk itu dengan kos membelinya daripada pembekal sahaja. Tidak melibatkan kos-kos lain seperti gaji pekerja, sewa, utiliti dan sebagainya. Hanya kos belian produk sahaja.

Selepas kita sudah mengenalpasti margin untung kasar, langkah kedua kita yang perlu lakukan ialah senaraikan kos operasi perniagaan kita. Kos operasi ini ialah apa sahaja kos yang kita perlu bayar jika kita beroperasi, sekali pun kita gagal menjual apa-apa produk. Kos ini adalah belanja yang kita keluarkan untuk operasi perniagaan itu.

Antara kos operasi ialah gaji pekerja; sewa kedai; bil elektrik dan air; dan lain-lain lagi. Pembayaran ansuran kenderaan perniagaan kepada bank bukan belanja operasi kerana itu adalah pembayaran ansuran membeli aset. Dalam kata mudah kos operasi ialah belanja hangus yang terlibat dalam perniagaan kita.

Sekarang kita akan mengira TPM untuk sebuah kedai cenderahati. Katakan margin keuntungan bagi barang-barang yang terjual di dalam kedai cenderahati itu ialah 40 peratus. Kemudian kos operasi iaitu gaji, sewa, bil utiliti dan lain-lain perbelanjaan ialah sebanyak RM4000.

Kita gunakan formula pengiraan TPM seperti berikut :

(Imej 2 : Formula Titik Pulang Modal)

 

Dengan itu jika kita mendapat jualan bulanan sebanyak RM10000 maka kita akan mendapat untung kasar sebanyak RM4000 yang mencukupi untuk menampung kos operasi sebanyak RM4000 tadi.

Kita juga harus ingat dalam konsep perniagaan, kos operasi harus ditampung daripada untung kasar. Ringkasnya dengan jualan sebanyak RM10,000 itu tadi RM4000 adalah untuk membayar kos operasi sementara RM6000 lagi adalah untuk membeli semula produk yang telah terjual.

Dengan jualan sebanyak RM10000, untung kasar dari jualan itu dapat membayar semua kos operasi. Tetapi dalam keadaan ini usahawan hanya dapat membayar kos operasi dan membeli semula produk yang terjual sahaja. Tidak ada keuntungan bersih.

Jadi bagi contoh kedai cenderahati di atas TPM atau jumlah jualan minimum untuk pulang modal ialah sebanyak RM10000. Jika jualan kurang dari RM10000 ia akan rugi dan jika jualan melebihi RM10000 maka mereka barulah mendapat keuntungan.

Jadi nilai jualan sebanyak RM10000 akan menjadi satu benchmark pada setiap bulan untuk memastikan adakah mereka akan untung atau rugi pada bulan tersebut.

Nilai TPM ini pula akan berubah sekiranya kos operasi kita berubah. Contohnya jika kita menambah bilangan pekerja akan menyebabkan kos operasi kita meningkat maka kita perlu mengira semula TPM kita yang baharu.

Sebenarnya TPM ini adalah sesuatu yang sangat penting dalam perniagaan sebagai ukuran yang paling tepat untuk menilai adakah perniagaan kita berada dalam keadaan rugi atau untung. Nilai TPM itu adalah satu tanda aras yang paling penting menjadi kompas kepada ukuran berjaya atau gagalnya sesebuah perniagaan.

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah (cetak) pada 26 April 2021 bilangan 2644

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .