Home Berita PAS Melaka

Rencana : Teori Pelbagai Kecerdikan Gardner – Kecerdikan Manusia Bukan Kerana Akademik Semata-mata

1094
SHARE

Oleh: IBNU JANIE

Suatu ketika, kira-kira tiga puluh tiga tahun yang lalu, semasa penulis sedang berada di dalam kelas di sekolah rendah, seorang guru masuk ke dalam kelas penulis untuk membuat pengumuman tentang satu sesi pemilihan mencari pemain bola sepak sekolah. Beliau sangat menggalakkan pelajar bermain bola sepak walau pun ketika itu tahap bola sepak Malaysia baru di tahap semi profesional.

Guru itu kemudian mengambil contoh dan menyebut nama seorang pemain bola sepak terkenal dari Singapura yang bermain dalam liga tempatan ketika itu dan berkata “Awak ingat dia tu pandai belajar ke? Tak pandai langsung! Tapi sebab dia bagus main bola, dia dah hidup senang sekarang dengan main bola”.

Cikgu penulis pada ketika itu cuba menyampaikan mesej bahawa bukan hanya penguasaan akademik sahaja boleh menjamin masa depan, tetapi jika seseorang itu bermain bola sepak secara profesional juga boleh menjamin masa depan sekali pun tidak menguasai akademik.

Daripada kisah yang berlaku ketika penulis di sekolah rendah itu tadi, penulis ingin membawa satu persoalan kepada pembaca semua. Pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam akademik biasanya kita akan panggil pelajar yang cerdik. Tetapi adakah seseorang pelajar yang handal bermain bola sepak tetapi gagal dalam SPM juga boleh dikategorikan sebagai pelajar cerdik?

Apa itu teori Gardner?

Bagi menjawab persoalan tadi penulis bawakan satu teori yang diperkenalkan oleh Dr Howard Gardner dari Universiti Harvard yang dipanggil ‘Teori Pelbagai Kecerdikan’. Teori ini mengiktiraf sembilan jenis kecerdikan manusia yang tidak hanya atas dasar pencapaian akademik semata-mata. Bermula dari tujuh kecerdikan pada tahun 1983, Gardner menambah lagi senarai pelbagai kecerdikannya sehingga menjadi sembilan kecerdikan pada tahun 1999.

Kecerdikan pertama menurut Gardner ialah kecerdikan visual dan ruang. Ia adalah kebolehan untuk berfikir secara gambaran, imej, bentuk dan corak. Antara ciri-ciri orang yang mempunyai kecerdikan visual-ruang ini ialah bijak dalam mentafsir gambar, membaca peta, pandai melukis dan mudah mengenal corak. Antara pekerjaan yang sesuai untuk orang yang mempunyai kebijaksanaan ini ialah seperti arkitek, pelukis, jurutera atau perekabentuk.

Kecerdikan kedua ialah kecerdikan kinestetik tubuh. Ia berkaitan dengan pergerakan dan kemahiran fizikal seperti koordinasi, keseimbangan dan kelenturan badan. Seorang pemain bola yang mempunyai ketangkasan dan kemampuan menggunakan anggota badannya untuk menjaringkan gol yang hebat adalah seorang yang mempunyai kecerdikan kinestetik tubuh. Begitu juga dengan doktor pakar yang mahir melakukan pembedahan juga memiliki kecerdikan kinestatik kerana kecekapan tangan mereka dalam melakukan pembedahan itu.

Kecerdikan ketiga ialah kecerdikan muzikal iaitu kepekaan terhadap ritma, melodi atau kelangsingan suatu hasil muzik. Manusia yang mempunyai kecerdikan muzikal ini boleh menjadi penggubah lagu, ahli muzik atau penyanyi profesional.

Kecerdikan keempat ialah liguistik atau bijak kata-kata. Ia berkaitan kebolehan menggunakan kata-kata secara berkesan dalam lisan dan penulisan. Mereka yang cerdik linguistik ini biasanya akan jadi pemidato, penulis, penyajak atau penulis lirik. Mereka yang mudah menguasai banyak bahasa dan boleh berpantun secara spontan juga antara tanda seseorang itu mempunyai kecerdikan linguistik.

Kecerdikan kelima ialah kecerdikan matematik dan logic. Kecerdasan ini menggabungkan kedua-dua kebolehan matematik dan saintifik. Orang yang mempunyai kecerdikan matematik dan logik ini biasanya menguasai bidang sains.

Kecerdikan keenam ialah interpersonal iaitu kebolehan untuk memahami orang sekeliling dan hubungan sesama manusia. Mereka yang mempunyai kecerdikan interpersonal ini sesuai menjadi ahli politik atau kaunselor.

Kecerdikan ketujuh ialah kecerdikan intrapersonal iaitu kebolehan untuk refleksi diri sendiri dan sedar akan sifat dalaman diri. Mereka yang memiliki kecerdikan intrapersonal mempunyai kupayaan untuk melihat kelebihan dan kekurangan diri.

Kecerdikan kelapan ialah kecerdikan naturalistik iaitu kebolehan untuk memahami dan berinteraksi dengan alam sekitar. Tanda mereka yang memiliki kecerdikan naturalistik ini ialah mereka mudah mengenali tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Chef biasanya memiliki kecerdikan naturalistik ini.

Kecerdikan kesembilan ialah ‘kecerdikan existential dan spiritual iaitu berkaitan dengan kemampuan untuk memikirkan tentang kewujudan manusia, erti hidup, mengapa kita ada di dunia ini dan ke mana kita akan pergi selepas kematian.

Mengikut teori ini seseorang manusia mungkin mempunyai lebih dari satu kecerdikan daripada sembilan kecerdikan yang dinyatakan tadi. Dengan gabungan kecerdikan ini maka ia membentuk karektor atau kerjaya seseorang itu. Tahap kecerdikan juga berbeza-beza. Ada yang tinggi dan ada yang rendah dalam satu-satu kategori kecerdikan. Dalam diri seseorang manusia ada kecerdikan yang dominan dan ada yang tidak dominan.

Teori Gardner Mengiktiraf Kekebihan Manusia

Biasanya jika ada seorang komposer yang tidak pernah menjejakkan kaki ke university kerana lemah dari segi akademik tetapi boleh menghasilkan sebuah lagu yang indah kita tidak panggil dia sebagai seorang yang cerdik. Tetapi jika kita melihat kepada teori pelbagai kecerdikan ini sebenarnya kebolehan sesorang itu untuk menghasilkan satu kerja seni yang hebat adalah satu daripada kecerdikan manusia iaitu kecerdikan musical.

Oleh kerana sebelum ini kita beranggapan bahawa orang cerdik ialah orang yang cemerlang dalam akademik menyebabkan sesetengah ibu bapa enggan mengiktiraf bakat yang ada pada anak-anak mereka dan memaksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak mampu. Contohnya seorang murid yang cenderung untuk menjadi pelukis tetapi ibu bapanya tidak mahu anaknya melukis dan mahukan anaknya menguasai akademik. Pada hal anaknya lemah akademik tetapi pandai melukis.

Mungkin kerana tidak bersetuju dengan minat anak itu, ibu bapanya menghalang anak itu dari mengasah bakat menjadi pelukis dan memaksa anaknya menumpukan pada bidang akademik. Mereka mahu anak mereka dilihat cerdik seperti mana definisi yang difahami dan diterimapakai oleh orang ramai. Mereka tak mahu anak mereka dikatakan ‘pandai melukis tetapi tak pandai dalam pelajaran’.

Kemungkinan ia akan berakhir dengan anak itu tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang boleh dibanggakan dan sekadar menjadi manusia biasa. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Mungkin jika bakat anaknya itu digilap dia mungkin boleh menjadi pelukis terkenal dan hidup mewah.

Tidak dapat dinafikan apa sahaja yang kita lakukan samada menimba ilmu, menggilap bakat atau mencari pengalaman, akhir ceritanya adalah untuk membina kerjaya demi mencari sesuap nasi bagi menyara kehidupan kita sehingga maut menjemput. Kerana itu kita perlu mencari kekuatan dan potensi diri kita, gilap kekuatan tersebut dan jadikan kekuatan dan potensi itu sebagai modal untuk kerjaya yang bakal kita lakukan.

Ada orang yang memang kekuatan dan kecerdikan mereka adalah pada bidang akademik. Mereka boleh menggilap potensi mereka dengan meningkatkan kelulusan akademik mereka.

Sekiranya kita mengesan sesuatu potensi kita dalam kecerdikan yang non-akademik seperti melukis, bersukan, menyanyi, menulis lirik maka tajamkan lagi kemahiran kita itu sehingga boleh menghasilkan sesuatu yang hebat dalam bidang kita itu.

Jangan malu jika mempunyai kelebihan yang hebat dalam bidang lain tetapi lemah dalam akademik. Kita tetap termasuk dalam golongan orang yang cerdik atas kebolehan non-akademik yang kita ada itu.

Mungkin Neymar tidak mampu menjadi pakar fizik seperti Einstein, tetapi itu tidak bermakna Neymar tidak cerdik. Ini adalah kerana dalam masa yang sama Einstein juga tidak mampu menjadi pemain bola sepak yang cekap dan hebat seperti Neymar. Jadi kedua-duanya cerdik dalam bidang masing-masing.

Yang lebih penting dari itu ‘teori pelbagai kecerdikan manusia’ ini adalah tanda keadilan tuhan yang menjadikan manusia itu mempunyai kelebihan masing-masing yang sepatutnya diiktiraf. Jadi bukan hanya orang yang cemerlang dalam perperiksaan dan berjaya ke menara gading sahaja yang kita boleh panggil sebagai cerdik.

Penulis adalah Ketua Unit Berita Penerangan PAS Melaka merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka