Home Artikel PAS Kedah

PH gagal jiwai aspirasi Falsafah Pendidikan Negara

392
SHARE

MEWUJUDKAN suasana harmoni serta sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain menjadi tanggung semua pihak.

Rakyat Malaysia secara umumnya dapat menerima adat resam dan budaya kaum lain selagi mana sempadan tatasusila difahami serta diamalkan dengan penuh toleransi.

PAS berpandangan, kemajmukan berbilang kaum merupakan anugerah serta pembuktian keagungan Allah S.W.T yang Maha Pencipta, menjadikan manusia pelbagai warna kulit, berbeza ras serta bahasa pertuturan mengikut kaum masing-masing.

Namun mutakhir ini, suasana harmoni itu kian menipis apabila ada segelintir pihak yang cuba meniup bara perkauman malah banyak siri desakan berbaur provokasi yang menjurus ke arah ketegangan, kebencian, seterusnya meruntuhkan kemesraan di kalangan masyarakat majmuk khususnya dalam perkara pendidikan semakin menjadi-jadi.

Antaranya, diperdebatkan oleh rakyat kini termasuklah hal seni penulisan khat Jawi (tiga muka surat sahaja) sehingga memaksa Perdana Menteri menegur keras ke atas tindakan pihak tertentu yang dilihat berpotensi mencetus perbalahan serius.

Selain itu, kedengaran juga desakan kuat agar UniMAP disiasat kerana melulus kertas soalan peperiksaan yang tertera nama pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik di dalam Kertas Hubungan Etnik sebagai ikon dunia Islam.
Kedua-dua isu ini secara tersirat merupakan satu percubaan mewujudkan rasa kebimbangan, keresahan dan ketakutan di kalangan rakyat bukan Islam terhadap Islam atau dengan istilah lain perkataan Islamphobia.

Sama ada ia adalah satu kebetulan atau tidak, DAPlah yang paling menonjol menunjukkan reaksi negatif terhadap apa yang berlaku pada sejak kebelakangan ini.

Sementara itu rakyat masih ternanti-nanti hasil keputusan laporan kajian oleh Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) mengenai kontroversi isu pensijilan UEC, di mana laporan berkenaan perlu dibentang kepada Kementerian Pendidikan tanpa lengah lagi.

PAS membangkitkan perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan awam dan perundangan pendidikan negara. Persoalannya, apakah perbuatan melengah-lengahkan pembentangan syor tersebut mempunyai agenda tersirat?

Pada penilaian rakyat, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menjiwai aspirasi yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan mereka terbawa-bawa dengan perangai sewaktu menjadi pembangkang. Barangkali mereka lupa bahawa sekarang mereka sudah menjadi kerajaan.

Hal sedemikian berlaku kerana PH tidak serius menanam semangat cintakan negara dan hidup berkasih sayang dalam membina perpaduan nasional dalam sektor pendidikan.

Kedua, PH dilihat seakan mewujudkan tembok pemisah antara kaum dengan menafikan kepentingan mempelajari resam silang budaya seperti bahasa dan tulisan Jawi, sedangkan mempelajari tulisan kaligraf Cina pula dijulang setingginya sebagai simbul perpaduan kaum.

Ketiga, PH bersikap double standard dan pilih kasih dalam soal pemberian agihan pendidikan apabila nisbah yang diberikan antara sekolah persendirian Cina dan sekolah aliran Kebangsaan amat ketara.

Keempat, mengiktiraf produk yang tidak mengikuti arus kehendak dan peraturan pendidikan yang tertulis di dalam Akta Pendidikan; dan yang paling ketara ialah apabila sebahagian hal pendidikan seolah-olah mesti mendapat restu dari DAP termasuklah cadangan pelantikan Menteri Pendidikan yang baru ini.

Justeru, pembinaan kesatuan dan perpaduan kaum bermula di laman pendidikan. Tidak dinafikan, kestabilan sosial kemasyarakatan berputik di petak ini. Terserahlah kepada PH bagaimana mengaturnya sesuai dengan cogan kata ‘Malaysia Baru’. Rakyat tak sabar ingin mengetahui, apakah resepi pendidikan ala Malaysia Baru itu dalam membina perpaduan nasional ?

DR. AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 10/1/2020